- Gambar Hiasan Sumber: Internet
MARAN - Majikan di Malaysia diharap memberikan keutamaan menggaji
rakyat tempatan khususnya golongan muda, berbanding mengambil pekerja
asing sama ada pelarian Rohingya atau pekerja Bangladesh yang akan
dibawa masuk ke Malaysia.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, tidak wajar untuk majikan di negara ini meminggirkan tenaga tempatan kerana masih ramai anak muda yang dapat melakukan kerja yang diberikan kepada warga asing.
"Kita tidak boleh menafikan masih terdapat keperluan untuk menggaji tenaga kerja asing. Namun, dalam masa sama, kita tidak mahu anak muda kita terbiar dan pekerjaan yang ada itu diisi pekerja asing.
"Alasan yang sering diberikan majikan adalah pekerja tempatan tidak mahu bekerja, namun adakah dakwaan itu benar?" katanya kepada pemberita semasa ditemui di Kampung Lubuk Paku di sini, semalamm.
Terdahulu, Ismail menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Pengurniaan Kepada Yang Memerlukan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri Tunku Azizah Aminah Maimunah Sultan Iskandar kepada 200 penduduk kampung sekitar Maran.
Ismail berkata demikian semasa diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kira-kira 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan pelbagai sektor.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Maran turut menjelaskan bahawa keputusan untuk membawa masuk pekerja Bangladesh itu juga adalah terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.
Sementara itu, mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan bahawa kerajaan perlu memberi kebenaran kepada pelarian terutamanya kaum Rohingya daripada memberi pekerjaan kepada pekerja Bangladesh, Ismail berkata perkara itu agak sukar dilakukan.
"Jika kita membenarkan pelarian yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), kita tidak boleh mendiskriminasikan mereka, termasuk dalam hal gaji minimum," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan