HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Jun 2015

Pemilihan ditangguh kerana 'krisis semasa'

MALAYSIAKINI


 


Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan penangguhan pemilihan parti itu dibuat ekoran krisis membabitkan 1MDB.

Sebaliknya kata beliau keputusan itu dibuat kerana mengambil kira kemahuan akar umbi  serta keadaan semasa politik yang berlaku dalam negara.

Sebelum itu Tengku Adnan ditemui media di Setiawangsa untuk mendapatkan pandangannya mengenai keputusan Umno menangguhkan pemilihan yang sepatutnya diadakan tahun depan.

Sesetengah pihak berpendapat keputusan penangguhan selama 18 bulan itu dibuat bagi memberi lebih banyak masa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan kemelut melanda 1MDB.

"Tidak, tidak. Ia tak ada kena mengena dengan apa-apa masalah," katanya.

Semalam Majlis Tertinggi (MT) Umno bersetuju menunda pemilihan parti itu selama 18 bulan.

Pemilihan itu sepatutnya berlangsung dalam perhimpunan agung tahun depan.

Ketika mengumumkan perkara itu Najib berkata, ia adalah sebahagian daripada langkah mengukuhkan parti serta BN menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Tengku Adnan juga menafikan penangguhan pemilihan itu adalah kemahuan MT sebaliknya dibuat selepas parti itu "merasai nadi ahli Umno".

"Rata-rata apabila ahli MT turun (padang), mereka menyuarakan, disebabkan masalah sedang berlaku dalam negara kita mereka menyarankan kita tangguhkan pemilihan selama 18 bulan," katanya.

Umno juga, kata Tengku Adnan, mengadakan bengkel di Janda Baik dan dihadiri 207 daripada 221 bahagian Umno di seluruh negara baru-baru ini.

"Semua setiausaha (bahagian) hadir, semua sebulat suara mahu pemilihan ditangguhkan. Parti berpendapat lebih baik kita menumpukan kepada permasalahan sedia ada dan pilihan raya akan datang.

"Apabila buat pemilihan akan ada macam-macam masalah," katanya. 


 

Tiada ulasan: