Isteri lain mungkin akan mengamuk mendengar dirinya akan dimadukan, tetapi bagi Mariatul Qibtiah Muhammad Husaini, 21, ia jalan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah.
Ini bukan skrip drama dengan tajuk seperti "Suami Aku Encik Sotong/Ustaz/Playboy", ia kisah benar pasangan sebaya Mariatul dan suaminya Muhammad Solahuddin Nordin.
Mereka adalah 1 daripada 23 pasangan yang bernikah pada Majlis Pernikahan Perdana 30 dan 31 Mei lalu di Bandar Country Homes, Rawang.
Solahuddin dan Mariatul bernikah dengan tidak pernah mengenali satu sama lain atau bercinta sebelum upacara ijab kabul.
Sebaliknya, perkahwinan mereka diaturkan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd – yang sebelum ini dikenali sebagai Global Ikhwan Sdn Bhd.
Cukup dengan mengetahui nama pasangan sewaktu mengisi borang pernikahan, serta kursus anjuran GISB selama seminggu, pasangan ini sentiasa tersenyum bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain sewaktu temu bual berlangsung.
"Perasaan saya sangat bersyukur sebab dimudahkan (kahwin mengikut) cara Nabi (Muhammad). Nabi berkahwin tak bercinta. Tuhan hendak tunjukkan yang kahwin itu sebenarnya mudah.
"Kahwin ini diuruskan sepenuhnya oleh syarikat – apabila bertunang baru nampak muka – selamatlah daripada bercinta sebelum kahwin," kata Solahuddin sewaktu ditanya tentang perkahwinannya itu.
Larangan cinta sebelum kahwin
Penyelaras Majlis Pernikahan Perdana, Johari Morad, menjelaskan bercinta hanya selepas berkahwin adalah syarat utama yang dikenakan ke atas peserta majlis nikah ini.
"Kalau awak hendak dikahwinkan, jangan bercinta (sebelum kahwin). Bercinta hilang keberkatan dalam perkahwinan.
"Bercintalah selepas kahwin," katanya sambil menambah pernikahan sebegini dinamakan sebagai nikah "yang disusun".
Pihak syarikat, katanya, berbincang dan mendapatkan persetujuan daripada keluarga pengantin untuk menikahkan mereka.
Dan pada kebanyakan masa, urusan ini dipermudahkan kerana ibu bapa pengantin juga adalah kakitangan GISB, tambahnya.
Berdasarkan kaedah ini juga, mana-mana lelaki atau perempuan yang menaruh rasa suka terhadap satu sama lain tidak akan dibenarkan bernikah dalam GISB.
"Daripada satu segi, orang nampak macam tak adil (tetapi) kita hendak kahwin itu berkat.
"Kahwin itu satu cara hendak melahirkan zuriat dan di bawah kita ini (fikirkan) berapa banyak zuriat dan anak keturunan cucu kita (akan lahir).
"Permulaan ibu dan ayah itu hendaklah tiada permainan nafsu syaitan di celah-celah hendak kahwin itu.
"Bercinta itu nafsu syaitan dah masuk dah. Islam tak benarkan macam itu, bukan GISB tak benarkan," katanya yang merupakan ahli lembaga pengarah GISB Holdings yang bertanggungjawab menjaga bahagian pendidikan GISB.
Peserta juga disyaratkan tidak menghabiskan masa bersama pasangan dalam masa dua hari selepas akad nikah walaupun status hubungan mereka pada masa itu halal.
Menurut Johari, beliau sendiri menetapkan perkara tersebut bagi memastikan peserta mengambil masa mengenali pasangan masing-masing.
"Sebab, mereka baru kenal dan kita tak mahu mereka 'terkejut'. Mereka ini baru kahwin, jadi biarlah berhubung melalui telefon dahulu. Kita bagi ada fasa (untuk) dia kenal secara jauh dahulu.
"Jangan dia jumpa terus malam pertama, nanti bahaya, takut dia terkejut begitu. Sebab, mereka ini 'fresh', mereka tak biasa bergaul lelaki dan perempuan, tak pernah sentuh lelaki lain, tak pernah sentuh perempuan lain," kata Johari.
Sementara itu, Ketua Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Selangor, Aluwi Parman mempunyai pandangan sedikit berbeza tentang konsep bercinta sebelum atau selepas berkahwin.
"Mana yang lebih baik antara bercinta dahulu atau berkahwin dahulu? Dua-dua ada kebaikannya.
"Kalau dalam Islam, kita disuruh mengenali dahulu. Ini kerana, seseorang itu bila hendak berkahwin, kena buat penyiasatan latar belakang keluarga yang hendak dimiliki itu.
"Siasat akhlak, ilmu, keluarga yang ramai anak atau tidak. Tapi kalau dia tak kenal, dan terus berkahwin baru hendak mengenali, itu memakan masa yang agak panjang juga.
"Berkahwin dulu baru bercinta itu ada kebaikan tetapi mengenali lebih rapat dahulu baru berkahwin itu lebih baik pada pandangan Islam," katanya.
Ditanya jika bercinta selepas bercinta adalah amalan Nabi Muhammad, Aluwi memberikan jawapan berikut:
"Itu saya tak dapat hendak maklum, tetapi rasanya Nabi mengenali latar belakang (pasangannya) juga sebelum dia berkahwin.
"Dia tahu latar belakang keluarga yang hendak dimiliki itu," katanya.
Nama Global Ikhwan tidak asing buat mereka yang mengikuti perkembangan organisasi dakwah Al Arqam yang gah sekitar tahun 80-an dan 90-an.
Al Arqam pada satu masa menyebarkan kegiatan dakwah Islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan, perniagaan, perubatan dan pertanian.
Gerakan ini diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1994 namun ia muncul kembali dengan nama baru, Rufaqa Corporation.
Bimbang dengan pengaruh pengasasnya Ashaari Muhammad, kerajaan bertindak mengharamkan Rufaqa. Ashaari meninggal dunia pada 13 Mei 2010.
Kumpulan itu kemudian bergerak dengan nama Global Ikhwan, namun nama itu juga dilarang kerajaan.
Sejak hari itu, organisasi tersebut bergerak sebagai syarikat yang didaftar sebagai GISB Holdings Sdn Bhd.
Hidup dalam arus perdana
Selepas bertapak di Bandar Country Homes Rawang pada 2000, GISB sentiasa berusaha hidup dalam arus perdana masyarakat.
Buktinya, Majlis Pernikahan Perdana ini mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Menurut Johari, 17 orang naib kadi membantu menikahkan pasangan pengantin dan majlis turut dihadiri Aluwi serta Kadi Daerah Gombak Timur, Zainal Abidin Sulaiman.
Aluwi sendiri menyampaikan khutbah nikah serentak kepada semua pasangan pengantin sebelum majlis akad nikah berlangsung.
Walaupun bertukar pelbagai nama, buat sebilangan masyarakat, GISB amat sinonim dengan amalan berpoligami melalui Kelab Poligami Ikhwan serta Kelab Taat Suami pada satu masa dahulu.
Ditanya tentang kesediaannya berhadapan poligami, Mariatul yang menganggap suaminya sebagai "jambatan mendapatkan Tuhan" memberikan jawapan berikut dengan senyuman terukir di bibir:
"Insya-Allah (bersedia). Yalah, motonya untuk dapatkan Tuhan, apabila kita sudah ada madu bolehlah kita berjuang, buat kerja (sebagai isteri) tanpa memikirkan (perlu berkongsi) suami kita.
"Kita boleh fokus kepada perjuangan (iaitu) pekerjaan kita. Jadi hati itu banyak kepada Tuhanlah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan