GEORGE TOWN-Tiada sebarang mesyuarat atau pertemuan dibuat bagi membincangkan tentang kemungkinan rombakan kabinet setakat ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri.


Ismail berkata, walaupun ada rombakan kabinet, ia adalah dalam bidang kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukan bidang kuasanya.

“Ia di luar bidang kuasa saya, jadi lebih baik saya tidak campur tangan.

“Setakat ini, tiada sebarang pertemuan atau perbincangan rombakan tetapi sekiranya anda mahukan rombakan, anda tidak boleh bercakap mengenainya kerana pada zaman Tun Dr Mahathir, sekiranya ada yang asyik bercakap mengenai rombakan kabinet, ia tidak akan berlaku, tetapi  apabila tiada yang bercakap mengenainya, beliau boleh umumkan rombakan,” katanya.

Isamil berkata demikian ketika mengulas mengenai kemungkinan berlakunya rombakan kabinet pada sidang media selepas melancarkan Projek Pertanian Bandar oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata, beliau bukan berada dalam kedudukan untuk mencampuri isu yang di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

“Biasanya dalam rombakan kabinet, hanya Perdana Menteri yang tahu mengenainya dan dia tidak akan bercakap tentangnya,” jelasnya.

Spekulasi tersebar mengenai kemungkinan berlakunya rombakan kabinet selepas sambutan Hari Raya bulan depan berikutan konflik dalaman UMNO.

Khabar angin tersebar sejak minggu lalu yang mencadangkan tujuh menteri dan timbalan menteri digugurkan dalam rombakan berkenaan, termasuklah Datuk Seri Hasan Malek dan Datuk Seri Idris Jala.

Bulan lalu, terdapat khabar angin mengenai rombakan kabinet yang tersebar melalui media sosial di mana ia menyebabkan Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan menafikan perkara itu dan mengesahkan tiada sebarang rombakan kabinet akan dibuat.