HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Jun 2015

Perletakan Jawatan Penganjur Nothing2Hide, disebabkan tekanan atau meluat?

shahbudindotcom


Secara tiba-tiba, tanpa ada angin atau ribut, Pengerusi Sukaguam, Khairul Anwar Rahmat yang menganjurkan program kontroversi Nothing2Hide meletakkan semua jawatannya dalam UMNO. 

Kononnya perletakan jawatan itu untuk memberi tumpuan kepada syarikat guamannya mengembangkan sayap ke Eropah dan Asia Barat yang selama ini terhalang kerana beliau terlalu aktif dalam politik tempatan.

Beliau yang kini memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bajagian Kluang, Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor dan Pengerusi Majlis Perundangan UMNO Malaysia, akan meletakkan jawatannya berkuatkuasa 2 Julai depan.

Program forum Nothing2Hide anjurannya sebelum ini mengundang kontroversi berikutan Perdana Menteri, Najib Razak yang sudah menyatakan persetujuan untuk hadir bagi menjawab persoalan mengenai 1MDB membatalkan kehadiran di saat-saat akhir atas alasan keselamatan kerana bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad turut hadir untuk bertanyakan soalan.

Berikutan ketidakhadiran Najib itu, forum tersebut telah diambil alih oleh Tun Mahathir dengan beliau dijemput berucap selama kira-kira 10 minit sebelum dihentikan oleh pihak polis. 

Lanjutan ketidakhadiran itu, Najib telah dikecam sebagai penakut dan pengecut sedangkan sebelum ini berdegar-degar menyatakan sedia menjawab apa saja persoalan mengenai 1MDB yang dipertikaikan dan menjadi bualan rakyat mengenai pelaburannya yang diragui serta hutang terlalu tinggi.

Namun demikian, kontroversi program itu turut membawa masalah buat Khairul Anwar kerana beliau turut dipersalahkan kerana mengundang Tun Mahathir secara lisan dalam sidang akhbar tiga sebelum program diadakan serta menyatakan bekas Perdana Menteri itu boleh bertanya apa saja soalan kepada Najib.

Ramai yang pro Najib berkata, jika bukan kerana Khairul Anwar terlalu ghairah mahu melihat Najib dan Tun Mahathir berada di satu forum yang sama berhubung kontroversi 1MDB sehingga "gatal mulut" menyatakan bekas Perdana Menteri juga boleh hadir, mungkin program itu dapat dijalankan dengan jayanya hanya antara Perdana Menteri dengan NGO-NGO jemputan saja.

Ketidakhadiran Najib, selain dipertikaikan ramai,  turut menerima kritikan daripada Tuanku Mahkota Johor yang kemudian beralih menjadi perdebatan antara baginda dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz.

Bagaimanapun, semalam Khairul Anwar tampil dengan kenyataan menyokong pendirian Tuanku Mahkota Johor bahawa seseorang pemimpin seharusnya lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat berbanding semua perkara yang lain.

Tetapi sesiapa pun sebenarnya meragui alasan perletakan jawatan Khairul Anwar itu dan merasakan seolah-olah ada yang tidak kena dengan tindakannya secara tiba-tiba itu?

Jika ingin melebarkan sayap syarikat guamannya ke luar negara, bukankah lebih bermanfaat jika beliau terus kekal dengan jawatannya sekarang kerana pelbagai bantuan dan sokongan boleh diperolehinya daripada kerajaan melalui jawatan UMNO yang disandangnya itu?

Menjadi persoalan juga, kiranya program Nothing2Hide itu tidak menjadi kontroversi dan berjaya membawa kegembiraan kepada Najib, apakah Khairul Anwar akan turut meletakkan jawatan sebagaimana keputusannya hari ini?

Dalam hal ini, lebih ramai yang percaya perletakan jawatannya mungkin disebabkan adanya tekanan daripada kalangan yang rapat dengan Najib yang tidak puas hati dengan program tersebut sehingga dianggap memalukan serta mencalar imej Perdana Menteri yang selalu berbangga dengan kedudukannya sebagai Pahlawan Bugis yang terkenal gagal berani.

Memang diketahui apabila Tun Mahathir memutuskan untuk hadir ke program tersebut sehingga menjadi tumpuan ramai, lalu akhirnya Perdana Menteri memutuskan tidak hadir atas faktor keselamatan, Khairul Anwar banyak dipersalahkan oleh puak pro Najib kerana program tersebut sepatutnya hanya melibatkan NGO-NGO saja.

Ada juga yang menyebut, sejak program tersebut, Khairul Anwar tidak habis-habis dipersalahkan dan beliau jadi bosan dan meluat, lantas akhirnya mengambil keputusan meletakkan jawatan bagi memuaskan hati kumpulan yang mendesaknya itu

Apa pun, sebagai pemimpin muda yang dianggap berpotensi, perletakan jawatan Khairul ini lebih memberi tamparan kepada Najib yang sedang cuba memulihkan imej dan sokongan terhadapnya berkaitan isu 1MDB.

Sekali lagi, alasan perletakan jawatannya sama sekali tidak masuk akal dan lebih berupa tanda-tanda bahawa tiada tempat yang selamat bagi mereka yang cuba berbeza pendirian atau telah menjatuhkan imej Perdana Menteri. 
 
 

Tiada ulasan: