HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Jun 2015

Kes Tembak Mati Wanita Di Giant, Bekas Pemandu Teksi Ke Tali Gantung

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang bekas pemandu teksi kerana membunuh seorang wanita dengan menembaknya dalam satu rompakan di Pasar Raya Giant Batu Caves, Gombak, 10 tahun lepas.

Panel lima anggota diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan akhir Mokhtar Mohd Zin, 53, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah
Rayuan yang mensabitkannya terhadap pertuduhan membunuh Siti Shamiza Abu Zarim.

Hakim Md Raus berkata tidak ada sebab bagi mahkamah itu untuk mengubah keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati Mokhtar bersalah membunuh wanita itu kerana dia telah dicamkan secara konklusif oleh beberapa saksi pihak pendakwaan sebagai individu yang menembak wanita itu.

"Oleh itu rayuan ditolak, keputusan Mahkamah Rayuan, sabitan dan hukuman mati dikekalkan," kata Hakim Md Raus yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Mokhtar, yang juga seorang peniaga barang seludup dari Thailand, didakwa membunuh Siti Shamiza, 30, seorang setiausaha di sebuah syarikat pembinaan, di tempat letak kereta Pasar Raya Giant Batu Caves, pada 1.45 tengah hari, 19 Mac 2005.

Mengikut keterangan saksi awam semasa perbicaraan kes itu, saksi telah mendengar bunyi tembakan di tempat letak kereta di situ dan selepas itu seorang wanita ditemukan di atas tapak letak kereta bersebelahan sebuah kereta.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa mati disebabkan tembakan di dadanya  dan dia ditembak mati dari arah hadapan. Sebuah telefon bimbit yang digunakan Mokhtar juga dijumpai di sisi mayat itu.

Mokhtar, dari Kelantan, semasa membela dirinya memberitahu mahkamah bahawa dua hari sebelum kejadian itu dia pergi ke Kuala Lumpur bagi menghadiri kes di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan pulang ke Kelantan pada hari sama pada 17, Mei 2005.

Katanya, dia tiba di Rantau Panjang pada pagi 18 Mei, 2005 dan sebelah petang beliau pergi ke Golok, Thailand.

Dia menyerah diri kepada polis pada 26 Mac 2005 selepas isterinya  menelefonnya dan memberitahu gambarnya keluar di dalam berita berhubung kejadian bunuh di Kuala Lumpur.

Pada 20 September 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Mokhtar daripada pertuduhan membunuh di akhir kes pendakwaan. Bagaimanapun pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu merayu di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 10 Okt 2011, memerintahkan Mokhtar membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
 
Pada 30 Mac, 2012, Mahkamah Tinggi Shah Alam sekali lagi melepaskan dan membebaskan Mokhtar daripada pertuduhan itu selepas mendengar pembelaannya, tetapi Mahkamah Rayuan kemudiannya mensabitkan lelaki itu terhadap pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Hari ini Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya.-- Bernama

Tiada ulasan: