KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia akan menyoal siasat bekas pekerja PetroSaudi International, Xavier Justo, yang kini ditahan di Thailand atas dakwaan memeras ugut, setelah pihak berkuasa di sana selesai melakukan siasatan.
 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya perlu menunggu apa juga siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Thailand terhadap Justo.
 
“Saya juga telah membuat permohonan agar kita juga diberi ruang untuk menemu bual Justo, sebelum apa-apa tindakan diambil terhadapnya.
 
“Timbalan Ketua Polis Thailand akan berada di negara ini pada 2 Julai ini, kita akan membincangkan langkah seterusnya berhubung perkara itu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, pagi tadi.
 
Justo, 49, bekas pekerja syarikat minyak dan gas PetroSaudi International, didakwa memeras ugut bekas majikannya untuk mendapatkan 2.5 juta franc Switzerland (RM10 juta).
 
PetroSaudi, syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi itu, mendapat perhatian di Malaysia berikutan kerjasama yang pernah dijalankan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).