SHAH ALAM: Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan
disarankan untuk 'menasihati' kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor
terlebih dahulu sebelum sibuk menggesa Putrajaya mengadakan pilihan
raya semula, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri
Noh Omar.
Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata, gesaan Ambiga yang merupakan
seorang peguam itu 'memalukan' kerana ia seolah-olah menggambarkan
seseorang yang tidak berpengetahuan dalam bidang undang-undang.
"Kalau dia nak bagi nasihat, mari nasihatkan kerajaan Pakatan Rakyat di
Selangor, bagaimana kedudukannya. Kata sudah tidak ada (Pakatan), tidak
wujud dan sebagainya.
"Kalau itulah cadangannya, ia tidak layak dan memalukan. Saya juga
seorang peguam. Memalukan profesion guaman, cakap seperti orang yang
tidak bersekolah," katanya kepada Antarapos.
Ambiga yang juga bekas Pengerusi Bersama Bersih 2.0, dilaporkan
menggesa menggesa Putrajaya mengadakan pilihan raya semula susulan
pendedahan skandal terbaru Datuk Seri Najib Razak membabitkan 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) yang didedahkan media asing, The Wall Street
Journal (WSJ).
Malah, beliau juga menggesa Barisan Nasional (BN) menyerahkan kuasa
kepada pentadbiran sementara yang akan memastikan siasatan telus
terhadap skandal tersebut, selain menyarankan Najib untuk bercuti bagi
memberi ruang siasatan dijalankan.
"Terdapat siasatan yang sedang dijalankan dan anda tidak akan mendapat
sesuatu penyiasatan yang tidak berat sebelah jika beliau (Najib) masih
di pejabat.
"Beliau akan mempunyai peluang untuk membersihkan namanya, tetapi
penyiasatan ini mesti ditinggalkan sendirian. Mereka mesti dibenarkan
untuk menjalankan kerja tanpa rasa takut," Ambiga dipetik sebagai
berkata.
Umum mengetahui Pakatan kini dihimpit kontroversi sesama tiga parti
komponennya, apabila DAP secara bersendirian mengisytiharkan perikatan
itu sudah terkubur.
Keputusan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng selepas
PAS dalam muktamar baru-baru ini memutuskan kerjasama mereka dengan
parti yang didominasi kaum Cina itu kerana tidak menyokong pelaksanaan
hudud di Kelantan.
Mengulas lanjut, Noh berkata, semua pihak perlu menyerahkan isu
berkenaan yang sedang masih dalam proses penyiasatan oleh badan
profesional.
Sebuah pasukan petugas khas dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia,
sudah pun memulakan siasatan berhubung dakwaan penyaluran dana berkaitan
1MDB ke dalam akaun Najib.
Pasukan berkenaan juga sudah mengeluarkan perintah pembekuan terhadap
enam akaun bank dipercayai pihak yang terbabit dalam kes itu.
Perintah pembekuan itu dikeluarkan semalam, selain pasukan terbabit
juga sudah mengambil dokumen berkaitan 17 akaun dari dua bank bagi
membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan