KUALA LUMPUR- Peguam Negara diminta segera menyiasat jika wujud dalang dalam Pasukan Petugas Khas berhubung kes 1MDB yang membocorkan maklumat sulit penyiasatan kepada media asing.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata ini berikutan wujud individu yang tidak lagi bersifat tidak berat sebelah, selain menjejaskan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila maklumat yang masih dalam siasatan yang masih belum ditentukan kesahihannya telah bocor sehingga boleh menjejaskan keseluruhan penyiasatan.

Beliau berkata, ekoran pembocoran itu pihak berkuasa juga perlu menyiasat sama ada wujud dalang utama dalam konspirasi terancang untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.

“Saya mendesak agar Peguam Negara menyiasat segera kebocoran maklumat siasatan yang belum lengkap oleh Pasukan Penyiasat Khas yang ditubuhkan oleh beliau sendiri.

“Kecuaian itu boleh membawa kesan tidak adil dan fitnah kepada YAB Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Puad yang juga Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkata beliau hairan bagaimana akhbar Wall Street Journal (WSJ) boleh menerbitkan sebuah artikel berkaitan dokumen Pasukan Petugas Khas kurang daripada 24 jam selepas serbuan dibuat.

Katanya, WSJ sekali lagi telah menerbitkan dokumen–dokumen berkaitan tidak lama selepas kenyataan mengenai enam akaun yang dibekukan dibuat.

“Menurut WSJ, terdapat dua jenis dokumen yang telah mereka terima daripada Pasukan Penyiasat Khas Kerajaan di Malaysia.

“Yang pertama adalah dokumen pengiriman wang dan yang kedua adalah dokumen pasukan penyiasatan tersebut. Dokumen pengiriman itu cuma menyebut nombor akaun AmIslamic Bank yang tidak mempunyai nama sesiapa pun,” katanya.

Puad berkata beliau juga hairan kenapa Pasukan Penyiasat Khas ini menumpukan siasatan kepada akaun 1MDB sedangkan Pasukan Khas ini sepatutnya mendapatkan testimoni terlebih dahulu daripada pihak WSJ sebagai pihak yang menyebarkan tuduhan.