shahbudindotcom
Jika
berdasarkan ucapan Muhyiddin Yassin kepada pemimpin akar umbi UMNO di
Janda Baik sebagaimana videonya tersebar luas sebelum ini, beliau
semacam boleh disandarkan harapan untuk bertindak berani menegakkan
kebenaran berkaitan isu 1MDB yang kini semakin merimaskan rakyat.
Dalam
rakaman curi itu, Muhyiddin bukan saja melontarkan beberapa cadangan
yang rasional dan objektif dalam menangani kemelut 1MDB, malah yang
lebih mencairkan kita ialah ungkapannya, "saya tidak takut sesiapa
kecuali Tuhan."
Sebagai
pemimpin nombor dua negara dan lahir pula daripada keturunan ulama yang
agak terkenal di Muar Johor, tersebarnya video itu bukan saja
mencambahkan harapan tentang titik-titik perubahan yang menjadi dambaan
semua dan semoga kebenaran tidak terus disembunyikan, malah seperti
"sinar semakin menghampiri hujung terowong".
Namun
dengan perjalanan masa, ramai yang mulai ragu-ragu dengan keberanian
sebenar Timbalan Perdana Menteri itu kerana beliau akhirnya didapati
lebih banyak berdiam diri dan tenggelam begitu saja, meskipun jelas
kemelut dalam negara berkaitan 1MDB kian hari kian kronik jadinya.
Lebih
dari itu, beberapa saranannya untuk menyelesaikan isu tersebut dan
bagi mengembalikan keyakinan rakyat, tidak pun dipedulikan oleh Perdana
Menteri, Najib Razak.
Saranan
Muhyiddin agar Ahli Lembaga Pengarah 1MDB dipecat, CEOnya disiasat dan
dan polis dibenarkan masuk menyiasat syarikat pelaburan itu, hanya
"masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri saja" buat Najib.
Penubuhan
pasukan petugas khas yang dianggotai oleh Peguam Negara, SPRM, Bank
Negara dan PDRM kemudiannya pula tiada kena mengena dengan permintaan
Muhyiddin itu, sebaliknya ia berikutan pendedahan The Wall Street
Journal (WSJ) mengenai pengaliran masuk wang 1MDB berjumlah RM2.6 bilion
ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
Berkaitan
pendedahan WSJ itu, Muhyiddin hanya ada mengeluarkan kenyataan media
yang antaranya mahukan Najib memberi penjelasan lebih meyakinkan atau
membuat penafian kerana ianya merupakan tuduhan yang bersifat peribadi
kepadanya.
Muhyiddin
juga mahukan Najib mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ jika
terbukti dakwaan itu suatu fitnah bagi membersihkan namanya dan
mengembalikan semula kredibiliti ketajaan.
Sekali
lagi, permintaan Muhyiddin diabaikan oleh Najib, sebaliknya penafian
dan penjelasan Perdana Menteri mengenai wang RM2.6 bilion itu hanyalah
dengan kata-kata "saya tidak pernah ambil wang 1MDB untuk kegunaan
peribadi" dan "saya tak akan khianati amanah rakyat."
Betul
atau tidak wang RM2.6 bilion pernah mengalir masuk ke dalam akaun
perubadinya, langsung tidak berani diakui oleh Pahlawan Bugis itu.
Tindakan
saman terhadap WSJ pula belum diketahui entah jadi atau tidak, meskipun
surat tuntutan penjelasan yang dihantar oleh peguam Najib sudah dijawab
oleh penerbit akhbar perniagaan itu yang memaklumkan mereka tidak
berganjak walau sedikit pun daripada laporan yang sudah disiarkan yang
tentunya memberi gambaran mereka cukup bersedia bertarung di mahkamah.
Muhyiddin
pula, selepas mengeluarkan kenyataan media itu, terus senyap sepi tanpa
berita dan seolah-olah sudah putus idea untuk bercakap lagi atas nama
kebenaran berkenaan 1MDB.
Berbanding
hutang RM42 bilion yang ditanggung oleh 1MDB yang menyebabkan Muhyiddin
mahukan Ahli Lembaga Pengarahnya dipecat, CEO disiasat dan polis
dibenarkan menyiasat sambil berkata, "saya tidak takut sesiapa kecuali
Tuhan", isu wang RM2.6 bilion yang sehingga ini tidak dinafikan secara
konkrit oleh Najib, adalah bala yang jauh lebih besar untuk ditangani.
Jika
benar, ia bukan saja berkaitan rasuah, penyonglapan wang dan perbuatan
berunsur jenayah, tetapi juga tentang amanah seorang pemimpin.
Tetapi selepas mengeluarkan kenyataan medianya pada 4 Julai lalu, kita tidak mendengar apa-apa bunyi lagi daripada Muhyiddin.
Jika
berkaitan hutang RM42 bilion, beliau dengan gah meminta Ahli Lembaga
Pengarah dipecat dan CEO 1MDB dipecat, kenapa dalam hal wang RM2.6
bilion yang didakwa masuk ke dalam akaun Najib, tidak diminta Perdana
Menteri bercuti atau berehat sementara misalnya, kalau pun tidak cukup
berani untuk memintanya berundur dan berhenti?
Lalu, apa agaknya khabar Muhyiddin sekarang ini? Masihkah takut lagi dengan Tuhan?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan