KUALA LUMPUR- Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mempersoal tindakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang tidak berhenti mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Ia merujuk kepada tindakan Dr Mahathir yang mengkritik Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang didakwa telah mempertahankan Najib dan negara, dalam laman blognya semalam.

“Apakah yang Dr Mahathir mahu? Adakah beliau mahu kebenaran atau beliau mahu menggulingkan Perdana Menteri?

“Dan adakah beliau mahu menggulingkan Perdana Menteri kerana beliau gagal membuat Najib melakukan apa yang dia mahu? Atau dia mahu Najib digantikan dengan orang lain yang boleh dikawal dan diberitahu apa yang perlu dilakukan?” soalnya dalam laman blog sskeruak.blogspot.com hari ini.

Menurut Salleh, sama seperti Najib, Dr Mahathir juga mahu Anifah melakukan apa yang telah dilakukan sekiranya beliau berada di kedudukan Najib.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan tindakan Dr Mahathir bagai tidak sabar menunggu keputusan siasatan 1MDB, walhal beliau mahu perkara itu disiasat.

“Apabila Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau akan mengharapkan perkara sama dan jika Menteri Luar beliau bercakap perkara bertentangan, beliau akan segera menunjukkan pintu.

“Beliau seolah-olah mempunyai tanggapan bahawa Perdana Menteri memalukan negara apabila cuba membuka aib orang di hadapan awam,” katanya.

Salleh berkata: “Dr Mahathir mahu 1MDB disiasat, tetapi apabila ia dilakukan, beliau masih tidak berpuas hati dan tidak boleh menunggu keputusan penyiasatan ini.”

Sementara itu, beliau turut mengulas saranan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu Dr Mahathir mengetuai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat salah laku dalam 1MDB.

Katanya, Dr Mahathir tidak sesuai menerajui siasatan berkenaan kerana terikat dengan kepentingan yang boleh membawa kepada konflik kepentingan.

Menurutnya, ia sama seperti cadangan meminta Dr Mahathir mengetuai RCI untuk menyiasat masalah pendatang haram di Sabah; atau RCI menyiasat kemelut Perwaja; atau skandal Forex RM30 bilion 1992/1993.

“Dr Mahathir adalah pihak yang berkepentingan dan pihak berkepentingan tidak boleh mengepalai apa-apa siasatan. Kerana, ini sama seperti menolak konflik kepentingan.

“Saya terkejut bahawa seorang ahli politik veteran seperti Kit Siang tidak mengambil berat tentang konflik kepentingan.

“Saya pasti jika orang yang dicadangkan adalah Najib untuk mengetuai RCI, Kit Siang akan menjadi orang pertama melaungkan konflik kepentingan,” katanya.