PUTRAJAYA- Menteri-menteri kabinet sebulat suara untuk terus memberikan mandat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meneruskan pentadbiran negara, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.


Menurut beliau, keputusan itu disepakati oleh jemaah menteri walaupun Najib kini berdepan dengan dakwaan menerima sejumlah wang dalam amaun yang besar seperti dilaporkan oleh Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report sebelum ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kedudukan Perdana Menteri sama ada perlu ‘direhatkan’ seketika sepanjang siasatan berlangsung.

“Tidak (meminta PM berehat seketika untuk disiasat), saya rasa kabinet sangat bersatu dalam pandangan membenarkan proses berjalan seperti yang diperlukan.

“Buat masa sekarang satu siasatan khas sedang digerakkan untuk menyiasat perkara ini, melibatkan Bank Negara, Polis dan lain-lain termasuk SPRM.

“Sehingga keputusan diperoleh, masih terlalu awal untuk saya komen berhubung perkara ini,” katanya ketika ditemui wartawan di Majlis Penyerahan Felo Perdana 2015 di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Najib dan juga menteri-menteri kabinet yang lain bagi menerima pelajar yang bakal menjalani latihan praktikal selama tiga bulan di dalam kerajaan.

Najib ketika berucap di dalam majlis berkenaan berkata bahawa kerajaan perlu memantapkan komunikasi yang sedia ada bagi tujuan penyaluran maklumat yang lebih baik kepada rakyat.

Menurut beliau, usaha itu perlu dilakukan agar maklumat yang disampaikan pihak pentadbir tidak disalah tafsir oleh rakyat.

“‎Dalam dunia kompleks ini kebanyakannya pertimbangan yang harus kita lihat pertimbangan lebih kepada kejayaan kemudian hari‎.

“Kita boleh jika hendak belanjakan kemampuan kewangan kita hari ini atau naikkan harga barang sekarang untuk‎ masa depan yang lebih kukuh dan mantap.

“‎Keperluan kerajaan adalah komunikasi, kalau tujuan murni tetapi komunikasi kita tidak difahami dan dihayati itu tidak akan diterima rakyat,” katanya semasa berucap semasa menyempurnakan majlis tersebut.

Sebanyak 83 Felo Perdana daripada 50 universiti dalam dan luar negara terpilih untuk mengikuti program praktikal (internship) yang merupakan inisiatif daripada Kementerian Belia dan Sukan.‎