BERNAMA
Datuk Seri Najib Tun
Razak ketika berucap pada Majlis Iftar Rakyat Negeri Selangor di Masjid
Bandar Rinching, Semenyih, pada Ahad. - Foto TRP/Daniel Chan
SEMENYIH - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kerajaan negeri Selangor akan mengetepikan perbezaan politik untuk menyelesaikan isu penstrukturan air di negeri itu.
Beliau berkata ini adalah kerana kerajaan
persekutuan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat serta menjamin
masa depan negeri Selangor dalam menyelesaikan isu air yang berlaku di
negeri berkenaan.
“Tolak soal politik dan mengutamakan
kepentingan rakyat yang patut kita amalkan,” katanya, sambil menambah
Menteri Besar Selangor, Mohamad Azmin Ali ada berjumpa dengan beliau
baru-baru ini untuk menyelesaikan perkara tersebut.
Berucap pada Majlis Iftar Rakyat Negeri
Selangor di Masjid Bandar Rinching di sini pada Ahad, Najib berkata
kerajaan persekutuan telah menyelesaikan projek air dari Pahang hingga
Selangor, serta loji air di Hulu Langat 2 dengan peruntukkan RM2 bilion
semasa Perjanjian Persefahaman (MoU) pada Februari lalu.
Namun, katanya, kerajaan negeri telah
membatalkan perjanjian itu serta menimbulkan cadangan atau alternatif
lain seperti mengali air bawah tanah dan sebagainya.
“Akhirnya, apa sudah jadi pada air bawah
tanah yang diwar-warkan satu ketika dahulu. Tanyalah penduduk negeri
Selangor. Di Bandar Kesuma, mereka merungut sembilan hari tidak ada air
dan kawasan ini (Bandar Rinching) pula tiga empat hari tiada air.
“Apa guna ada kemajuan bandar atau banglo tetapi bekalan air terputus dan tidak terjamin,” katanya secara sinis.
Akibat perbezaan politik, Najib berkata
beberapa cadangan yang diusulkan oleh kerajaan pusat dahulu terbantut,
sambil memuji tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor,
Datuk Seri Noh Omar yang membangkitkan isu air di Parlimen.
“Saya berharap dalam masa terdekat
perjanjian (kerajaan negeri) dengan kerajaan pusat dapat ditandatangani…
kami kerugian masa berharga.
“Tetapi apakan daya, kita memerlukan
persetujuan kerajaan negeri dan akhirnya mereka bersetuju untuk menerima
cadangan kita dan projek ini, saya berharap dapat menjamin masa depan
negeri Selangor,” jelas Najib.
Memandangkan isu air masih belum
diselesaikan, Najib berkata kebanyakan pelabur tidak boleh menghabiskan
projek perumahan mereka kerana tiada jaminan bekalan air di negeri
Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan