HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Julai 2015

Beberapa persoalan tentang halangan imigresen



Oleh Maria Chin Abdullah


Semalam, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan pemilik The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong dilaporkan tidak dibenarkan ke luar negara berikutan proses siasatan terhadap skandal melibatkan aliran dana 1MDB ke akaun peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kemudian turut menjalankan pemeriksaan atas talian ke atas nombor kad pengenalan aktivis dan anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 di laman web Jabatan Imigresen, dan mendapati ada di kalangan kami juga yang diminta merujuk ke pejabat imigresen terdekat sebelum berlepas ke luar negara.

Antaranya termasuklah Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, Naib Pengerusi (Sabah) Jannie Lasimbang, Dr Wong Chin Huat, Hishamuddin Rais, aktivis mahasiswa Adam Adli serta mantan pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.


Tindakan menyekat kebebasan bergerak, setelah rentetan tindakan oleh ketua polis negara menyiasat mereka yang dinamakan oleh Lester Melanyi dan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyekat laman web Sarawak Report, tidak membantu membersihkan nama perdana menteri dan kerajaan daripada skandal 1MDB.

Malah, ia lebih membuatkan perdana menteri dan kerajaan kelihatan bersalah.

Masyarakat dunia akan terus mengutuk kerajaan dan perdana menteri, lantas merosakkan lagi nama baik dan reputasi negara di kalangan pelabur antarabangsa.

Adakah kerajaan menyangka laporan dan pendedahan berkaitan korupsi 1MDB boleh dihalang dengan menyekat pergerakan individu yang tidak disenangi kerajaan?

Peluang melaksanakan penambahbaikan ke atas institusi kerajaan tidak diambil dengan baik, sebaliknya pihak berkuasa dipergunakan menyekat mereka yang menyuarakan kritikan dan pendapat yang berbeza dengan pihak kerajaan.

Bukan sahaja pihak kerajaan enggan menerima dan bertindak atas kritikan, mereka telah bertindak membungkam dan membisukan suara-suara tersebut.

Bersih 2.0 menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan ini, dan mempersoalkan sama ada semua ini adalah isyarat kembalinya penindasan ala tangkapan Akta Keselamatan dalam Negeri terhadap mereka yang tidak mempunyai niat lain selain membangun sebuah negara yang lebih baik?

Apakah sandaran undang-undang yang digunakan untuk menyekat kebebasan bergerak sepertimana dijamin Perlembagaan Persekutuan selain alasan "arahan dari atas"?

Apa sebab aktivis dan ahli politik yang dipilih melalui jalan demokrasi yang sah perlu merujuk kepada pejabat imigresen sebelum boleh ke luar negara?

Anehnya, Sirul Azhar Umar, pembunuh Altantuya Shaariibu, boleh pula terlepas ke Australia.
Bersih 2.0 mempertegas sekali lagi, penambahbaikan tatakelola di semua peringkat kerajaan mesti dilaksanakan.

Sistem pilihanraya mesti dibersihkan, Parlimen harus berfungsi dengan lebih baik dan undang-undang zalim mesti dimansuh.

Sekatan imigresen atas alasan "arahan dari atas" termasuklah dalam kategori undang-undang zalim dan aneh yang mesti segera dimansuh.

Masakan mereka yang mendedahkan salah laku di Parlimen boleh ditindas, sedangkan mereka yang disyaki terlibat dalam salahlaku tersebut bebas bergerak ke mana-mana. –

* Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dipengerusikan Maria Chin Abdullah

Tiada ulasan: