shahbudindotcom
Tindakan
itu menggambarkan kerajaan sedang mengambil langkah ke belakang dari
segi kebebasan rakyat memperolehi maklumat, tidak sedia dikritik dan
memalukan dirinya sendiri lantaran tidak upaya memberi penjelasan
mengenai apa yang disiarkan oleh akhbar tersebut, lalu menggunakan kuasa
yang ada sebagai pelindung.
Tambahan
lagi, beberapa hari lalu, sebaik menyiarkan laporan mengenai urusniaga
1MDB dengan PetroSaudi International yang didakwanya sebagai helah oleh
Jho Low untuk menipu wang negara sebanyak AS$1.83 bilion, akhbar
kewangan itu juga tampil dengan kesedian untuk ke mahkamah bagi
mempertahan laporan yang dibuatnya.
Ia
mengatakan, laporan itu dibuat berdasarkan maklumat daripada dokumen
dan ribuan email yang diyakininya sebagai benar dan sedia untuk berhujah
mempertahankannya di mercu keadilan yang diiktiraf oleh perlembagaan.
Dalam
masa yang sama, pemilik The Edge, Ho Kay Tat juga sudah pun menyerahkan
semua dokumen, email bercetak dan cakera keras mengenai 1MDB kepada
Bank Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis, untuk membantu
siasatan kerajaan terhadap syarikat bermasalah dan sarat hutang itu.
Jadi,
dengan kesediaan ke mahkamah dan sudah menyerahkan maklumat yang mereka
ada, apa logiknya lagi tindakan kerajaan menggantung permit akhbar
tersebut?
Atau
kerajaan sebenarnya ingin menyekat pendedahan lain yang mungkin lebih
menggemparkan mengenai 1MDB, Najib Razak dan lain-lain pihak oleh akhbar
tersebut?
Walaupun
Kementerian Dalam Negeri atau KDN hari ini tampil dengan mengatakan
penggantungan itu berasaskan tiga sebab - laporannya yang boleh
menimbulkan persepsi negatif kepada masyarakat, sumber maklumat yang
diragukan serta belum tentu kesahihannya dan isu 1MDB sedang disiasat
oleh pasukan petugas khas, maka tidak tidak adil laporan sedemikian
disiarkan, tetapi hakikatnya semua orang sedang bercakap tentang isu
yang sama sekarang.
Jika
benar mahukan keadilan, halanglah semua orang daripada bercakap
mengenainya, termasuk menteri dan media kerajaan serta arus perdana yang
tidak henti-henti mempertahankan 1MDB dan biarkan petugas khas saja
menjalankan kerjanya?
Lebih
mengaibkan, tindakan terhadap The Edge ini dilakukan hanya beberapa
hari selepas laman sesawang Sarawak Report juga disekat oleh SKMM, juga
kerana siri pendedahannya sejak sekian lama mengenai syarikat pelaburan
kerajaan yang menjadi "anak emas" kepada Perdana Menteri, Najib Razak
itu.
Sebagaimana
ramai yang sinis dengan tindakan terhadap Sarawak Report, pelbagai
pihak turut menyatakan tidak setuju dengan langkah kerajaan terhadap The
Edge itu, termasuk daripada adik Najib sendiri iaitu Nazir Razak dan
Chandra Muzaffar yang selama ini dikenali sebagai penyokong setia Najib.
Lebih
ramai yang merasakan, kerajaan seharusnya memberi penjelasan atau
membetulkan, jika terdapat salah maklumat atau silap laporan dalam
pemberitaan mengenai The Edge itu.
Yang
ternampak di mata rakyat, melalui sekatan terhadap Sarawak Report dan
penggantungan The Edge ini ialah kerajaan seolah-olah mahu melindungi
sesuatu dan tidak mahu rakyat disajikan dengan maklumat yang betul lagi
benar.
Apakah
dalam era langit terbuka dan globalisasi ini, kerajaan sebenarnya hanya
mahu rakyat menperolehi maklumat daripada TV3, Utusan dan media
kerajaan saja?
Selepas
tindakan terhadap Sarawak Report dan The Edge ini, kebimbangan
seterusnya ialah apakah kerajaan akan terus "mengganas" dengan menyekat
beberapa sumber maklumat lain seperti portal berita, blog dan
laman-laman sosial yang selama ini banyak mengkritk 1MDB?
Ini
berikutan dalam pertemuan SKMM dengan beberapa editor portal berita
selepas sekatan terhadap Sarawak Report baru-baru ini, mereka juga
diingatkan agar tidak lagi memetik laporan daripada laman pembocor
maklumat yang sudah disekat itu kerana ia juga dianggap suatu kesalahan.

2 ulasan:
1 MDB = 1 Malaysia Diambang Bankrupt
1 MDB = 1 Malaysia Diambang Bankrupt
Catat Ulasan