SHAH ALAM: Jabatan Audit Negara berkata laporan The Wall Street Journal
(WSJ) mengenai 1MDB baru-baru ini bukan berdasarkan kepada laporan
interim audit jabatan itu ke atas syarikat berkenaan.
Timbalan Pengarah Penyelidikan jabatan tersebut, Masiah Ahmad berkata
laporan WSJ itu tidak ada kaitan dengan laporan interim audit ke atas
1MDB, lapor portal Malaysia Kini.
"Jabatan Audit Negara bukan sumber maklumat kepada laporan WSJ itu," katanya menerusi emel kepada portal tersebut.
Jumaat lepas, WSJ melaporkan bahawa dokumen-dokumen daripada penyiasat
Malaysia telah mendedahkan bahawa AS$700 juta, yang didakwa berasal dari
1MDB, telah disimpan di akaun bank peribadi Najib di Malaysia.
Transaksi itu didakwa berlaku dua kali - sekali pada bulan Mac 2013,
sebelum pilihan raya umum ke-13, dan sekali lagi pada awal tahun 2015.
Datuk Seri Najib Abdul Razak telah menafikan dakwaan tersebut dan
sedang menimbang untuk mengambil tindakan terhadap akhbar itu dalam masa
beberapa hari lagi.
Namun, WSJ mempertahankan laporannya itu dan berkata siasatan dibuat
penuh teliti kerana ia melibatkan pemimpin tertinggi Malaysia.
Pada bulan Mac, Jabatan Audit telah ditugaskan oleh Najib untuk
mengaudit akaun 1MDB berikutan dakwaan penyelewengan berkaitan kewangan
syarikat itu.
Laporan interim dijangka diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) pada hari Khamis.
Selain siasatan oleh Jabatan Audit dan PAC, sebuah pasukan petugas khas
yang terdiri daripada penyiasat dari Bank Negara, polis dan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditubuhkan untuk menyiasat
1MDB.
Menurut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pasukan petugas itu
telah memperolehi dokumen-dokumen yang berkaitan dengan dakwaan
tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan