KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menunggu Polis
Thailand selesai menjalankan siasatan terhadap bekas eksekutif
PetroSaudi International Ltd (PSI), Xavier Justo sebelum boleh
dipertimbangkan untuk menyoal siasat warga Switzerland itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya sebelum
ini telah menyuarakan hasrat kepada Polis Thailand bagi membincangkan
permintaan Malaysia untuk menemui Justo yang sedang ditahan di
Thailand.
"Tiada perkembangan terkini setakat ini. Kita tunggu dahulu pihak
Thailand selesaikan kes berkenaan," katanya dalam sidang media selepas
merasmikan majlis penyerahan 300 topi keledar kepada anggota polis
trafik Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Pada 24 Jun lalu, Polis Thailand dilaporkan menahan Justo atas tuduhan
cuba memeras ugut PSI, sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di
Arab Saudi yang menjadi tumpuan di Malaysia berikutan kerjasama pernah
dijalin dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa e-mel dan dokumen disiarkan
oleh Sarawak Report, sebuah blog bermotifkan politik sehingga
mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB.
Khamis lalu, Khalid telah mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Ketua
Polis Thailand, Chaktip Chaijinda bagi membincangkan kebenaran menyoal
siasat Justo berhubung kes berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Khalid memaklumkan pihaknya akan mengadakan
perjumpaan secara tertutup dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara),
Tan Sri Annuar Musa berhubung kontroversi pembelian aset Dudley
International House di Melbourne, Australia.
Bagaimanapun, Khalid enggan mengulas lanjut mengenai perjumpaan itu.
Baru-baru ini, akhbar Australia The Age melaporkan seorang pegawai
tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik
didakwa membelanjakan dana kerajaan secara berlebihan untuk membeli satu
blok pangsapuri di Melbourne dalam penipuan hartanah.
Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya'
terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri
di bandar raya itu pada 2013.
Ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan
itu yang dikenali sebagai Dudley International House daripada A$17.8
juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta).
Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli oleh
Mara, yang menyediakan biasiswa kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan
pengajian di luar negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan