Mahathir Mohamad - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
SHAH ALAM - Dasar pasaran asing yang tidak terbuka antara punca Proton Holdings Berhad (Proton) sukar untuk mengeksport kenderaan buatannya ke luar negara.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu sebaliknya tidak berlaku dalam negara apabila dasar kerajaan yang sentiasa terbuka kepada kenderaan import tidak memberi kelebihan kepada Proton.
"Kadang-kala kita tengok kereta import yang mungkin kualitinya tidak sampai standard yang kita hendak, tapi masih juga masuk dalam pasaran kita," katanya dalam wawancara khas sempena ulang tahun ke-30 Proton, di Pusat Kecemerlangan Proton, di sini, baru-baru ini.
Bekas Perdana Menteri itu juga mengakui ketidakupayaan Proton untuk mencapai piawaian emisi Eropah yang meningkat setiap tahun menghalang Proton daripada memasuki pasaran antarabangsa.
"Bila dia naikkan standard emisi, tapi kita tak boleh pergi, kita nak kena ubah suai, dia naikkan lagi, hampir setiap tahun dia naikkan.
"Itu Euro 5, belum Euro 6, standard mereka lebih tinggi, kita nak kena kejar mereka, tapi kita tak boleh duduk diam, itu sebabnya kita kehilangan pasaran asing," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya lagi, sejak Proton diperkenalkan, pengeluar kereta nasional itu hanya mampu mengeksport 10 peratus kenderaan keluarannya.
"Kita sudah eksport dalam pasaran asing hampir 400,000 (jumlah semua) daripada empat juta jumlah pengeluaran kereta kita sejak dulu lagi," jelasnya.
Dr Mahathir juga tidak menolak kos untuk menghasilkan enjin baharu sehingga RM1.8 bilion juga menghalang Proton untuk bersaing dengan kereta import lain.
"Kita tak boleh tukar (enjin baharu) sebab kita bukan macam syarikat automotif gergasi, bagi mereka nilai RM1.8 bilion tiada apa-apa. (Malah) mereka bangunkan kereta elektrik sudah cecah RM5.8 bilion, kita belanja di sini cuma RM400 juta.
"Tapi kita capai juga, walaupun dia belanja lebih banyak, kita belanja sikit, kita masih keluarkan kereta elektrik," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan