HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Julai 2015

Idris Ahmad gesa PAS-GHB hentikan menyerang sesama sendiri

Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic

 
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Idris Ahmad hari ini menggesa agar semua pimpinan PAS dan Gerakan Harapan Baru (GHB) menghentikan sikap serang-menyerang antara sesama sendiri bagi mengendurkan ketegangan yang kian memuncak antara PAS-GHB.
 
Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, langkah serang menyerang antara pimpinan PAS dan kumpulan progresif dibawah G18 yang menubuhkan GHB tidak menguntungkan mana-mana pihak malah menunjukkan perpecahan dalaman parti.
 
"Semua pihak harus begitu (hentikan serangan terhadap PAS-GHB), tidak perlu serang menyerang. Daripada PAS pun, begitu juga daripada GHB", katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Malah PAS katanya kini mengambil pendekatan untuk menunggu sehingga 14 September bagi melihat samada GHB benar-benar didaftarkan sebagai sebuah parti politik baru sebelum mengambil apa-apa tindakan.
 
"Kita mengambil sikap tunggu dan lihat (mengenai perkembangan GHB) daripada apa yang berlaku nanti. PAS buat kerja macam biasa untuk menerangkan kepada rakyat mengenai isu-isu rakyat," ujar beliau.
 
Ditanya mengenai kenyataan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang menyarankan agar parti itu segera mencari 'ubat' bagi mengelakkan PAS terus hilang sokongan pengundi khususnya bukan Islam.
 
Ujar Idris, semua bekas kepimpinan termasuk Mahfuz yang tewas pada pemilihan PAS pada 4 Jun lalu perlu bergerak kehadapan demi kepentingan parti. 
 
"Kita memerlukan sokongan daripada semua pihak samada orang Islam dan bukan Islam, maka dengan itu semua pimpinan PAS kena terus kehadapan kepada memikirkan jalan untuk menarik sokongan pengundi kepada PAS pada Pilihanraya Umum ke 14 nanti," katanya.
 
Mahfuz semalam menyelar kepimpinan baru PAS yang disifatkan tidak berbuat apa-apa bagi membendung kemerosotan undi bukan Melayu khususnya pengundi cina.
 
Bekas Ketua Penerangan PAS itu juga berkata respon PAS terhadap GHB jelas memperlihatkan kebimbangan parti itu terhadap kemunculan gerakan tersebut.
 
 

Tiada ulasan: