HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 Julai 2015

Isu 1MDB: Gesa siasatan jujur, telus

1MDB
1Malaysia Development Berhad
 
 
KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan menggesa siasatan yang jujur dan telus dijalankan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana jika tidak dilaksanakan dengan baik, ia akan dipersoalkan rakyat yang mahukan kebenaran.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia ditambah lagi dengan isu terbaru iaitu laporan dikeluarkan oleh The Wall Street Journal yang dianggap sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan sama sekali.

“Ini kerana ia melibatkan individu paling penting di negara ini iaitu Perdana Menteri sendiri. Saya mengalu-alukan kenyataan dikeluarkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail semalam, bahawa sebuah pasukan petugas khas dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia telah pun memulakan siasatan terhadap 1MDB.

“Namun, lebih penting daripada itu ialah ketelusan dan kejujuran di dalam proses siasatan, juga perkara yang sedang diperhatikan oleh rakyat,” katanya selepas menghadiri Majlis Tadarus Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (Pasti) Kelantan di Madinah Ramadan, di sini.

Hadir sama, Ketua Muslimat Pas Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusof.

Terdahulu,  Ahmad Fadhli yang juga Pengarah Pasti Kelantan bersama Zailah melancarkan produk sabun pencuci dikeluarkan oleh Pasti Kelantan sebagai salah satu projek ekonomi untuk menjana pendapatan guru pusat pendidikan itu.

Dalam pada itu beliau turut bersetuju dengan saranan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak bercuti ketika proses siasatan sedang berjalan.

"Ia penting supaya tidak mengganggu proses siasatan dijalankan oleh agensi kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Kita harus selesaikan perkara ini secepat mungkin. Rakyat kini berdepan dengan pelbagai isu terutamanya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan harga minyak dan sebagainya, maka tidak seharusnya kita dibebani dengan kemelut ini," katanya.


Tiada ulasan: