Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata
beberapa rakyat Malaysia akan dipanggil memberi keterangan berhubung
pendedahan terbaru Polis Thailand dalam siasatan terhadap bekas
eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI), Xavier Andre Justo.
Menyifatkan pendedahan Polis Thailand itu sebagai serius dan
mengejutkan, beliau berkata pendedahan itu telah dijadikan sebagai
laporan polis dan siasatan telah dijalankan.
"Kami akan panggil (untuk beri keterangan) setiap orang yang telah dikenal pasti oleh polis Thailand dalam masa terdekat.
"Saya harap mereka akan beri kerjasama penuh kalau tidak kita terpaksa
mengambil tindakan menangkap dan mereman mereka," katanya ketika ditemui
pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Bukit Aman di sini,
hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Semalam, Polis Thailand mengesahkan warga Switzerland itu telah
mengadakan pertemuan dengan individu penting dalam pakatan pembangkang
Malaysia di sebuah hotel di Singapura sebelum menjual maklumat sulit
milik syarikat itu.
Jurucakap Polis Diraja Thailand, Pol.Lt.Gen Prawut Thavornsiri dipetik
berkata polis Thailand mengetahui identiti individu yang ditemui oleh
Justo berdasarkan pengakuannya serta bukti yang dikumpul dan butiran
daripada sumber seperti telefon bimbit dan komputer peribadi milik
lelaki itu.
Khalid berkata PDRM akan terus mengadakan kerjasama dengan Polis Thailand dalam menyiasat perkara berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Zahid ketika diminta mengulas perkembangan
berkenaan berkata beliau menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak
Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Polis Thailand menahan Justo pada 22 Jun atas tuduhan cuba memeras ugut
PSI, sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi yang
menjadi tumpuan dalam kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Susulan kepada penjualan dokumen itu, beberapa e-mel dan dokumen
disiarkan oleh Sarawak Report, sebuah blog bermotifkan politik sehingga
mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan