KUALA LUMPUR: Seorang kasanova yang dipercayai memperdaya 19 wanita
untuk menyerahkan wang dan barang kemas bernilai RM150,000 sejak dua
tahun lepas berjaya ditahan polis, Selasa lepas.
Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di kediamannya di Taman Cahaya
Alam, Shah Alam dan polis turut merampas barang kemas dan telefon bimbit
milik mangsa dengan kesemuanya bernilai RM70,000.
Difahamkan, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak
menggunakan beberapa nama samaran serta menggunakan 'ayat manis' untuk
menjerat mangsa daripada laman sosial Facebook.
Suspek didakwa sering menabur janji manis untuk berkahwin dengan mangsa
sebelum memujuk mangsa menyerahkan wang simpanan dan barang kemas
dengan alasan mahu dibuat wang hantaran perkahwinan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Sharul Othman Mansor berkata suspek
menyasarkan wanita berkarier dalam lingkungan umur 28 hingga 38 tahun
sebagai mangsa.
"Selepas berkenalan menerusi Facebook selama dua hingga tiga minggu,
suspek kemudian akan mengajak mangsa untuk berjumpa di hotel sekitar
Brickfields," katanya pada sidang media semalam.
Beliau berkata sebaik sahaja mangsa menyerahkan wang simpanan dan
barang kemas, mangsa akan dibawa berjumpa dengan 'ahli keluarga' suspek
kononnya merancang untuk berkahwin.
Suspek juga dikatakan meminta mangsa meninggalkan barang peribadi dalam
kereta dan apabila berjaya memperdayakan mangsa, suspek akan melarikan
wang tunai dan barang-barang mangsa, katanya.
Sharul berkata polis menerima 19 laporan daripada mangsa yang diperdayakan suspek bermula Mac 2013 sehingga Jun 2015.
"Setakat ini, 10 mangsa berjaya mengecam suspek dan barang milik
mereka. Kami juga akan memanggil baki mangsa yang terlibat untuk
membantu siasatan dan mengecam barang milik mereka," katanya.
Suspek kini ditahan reman sehingga Isnin depan dan kes disiasat
mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya dan melarikan
barang mangsa.
Dalam kes lain, seorang suspek lelaki berusia 33 tahun ditahan polis di
Pantai Dalam di sini, Jumaat lepas, bagi membantu siasatan kes
pembunuhan seorang lelaki, P Loganeswaran, 25, di Sri Kota, Brickfields,
Khamis lepas.
Suspek dari Kuala Lumpur itu dan mangsa masing-masing mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah,' katanya.
Dalam kejadian pukul 5.45 pagi itu, mangsa maut akibat ditetak bertubi-tubi oleh tiga lelaki bersenjatakan parang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan