KUALA LUMPUR, Sekumpulan penjenayah hanya mengambil masa seminit untuk melarikan dua dulang emas dalam kejadian rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Lebuh Ampang, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.42 petang itu, empat suspek menaiki dua motosikal jenis Honda berwarna merah dan putih sebelum dua daripada mereka masuk ke dalam kedai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, suspek bertindak memecahkan kaca meja pameran dan membawa lari rantai dan cincin emas.

Menurutnya, nilai kerugian dianggarkan RM280,000 susulan kejadian itu.

“Suspek menggunakan tukul besi dan parang untuk merompak serta memakai topi keledar dan sarung tangan bagi mengelakkan daripada dikenal pasti.

“Polis sedang meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian bagi mengenal pasti semua suspek,” katanya.

Menurutnya, rakaman cctv mendapati terdapat tiga imej lelaki di tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata secara berkumpulan.