BERNAMA
Ahmad Shabery berkata,
kerajaan bagaimanapun boleh mengawal penyebaran maklumat yang tidak
betul dan yang boleh menjejas kestabilan politik dan keamanan negara.
KEMAMAN, Kerajaan akan tetap mengawal dan memantau penyebaran maklumat di internet bagi memastikan ia tidak menjejas keharmonian dan kemakmuran negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata, maklumat di internet
tidak boleh disekat kerana ia tetap akan tersebar dengan mudah dan
pantas daripada pelbagai rangkaian dan jaringan sedia ada dan apa yang
boleh kerajaan lakukan adalah mengawalnya seperti mana dilakukan
terhadap portal berita The Sarawak Report.
“Ciri internet ini tidak boleh disekat,
data yang tersebar seperti air sungai yang tetap mengalir, kalau kita
sekat di sini ia akan mengalir ikut aliran lain pula,” katanya kepada
pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan hari raya Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said di Teluk Kalong hari
ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) memutuskan untuk menyekat laman sesawang portal berita
The Sarawak Report kerana didapati boleh mengganggu-gugat keselamatan
negara.
Mengikut kenyataan SKMM pada 19 Julai
lepas, sekatan terhadap laman sesawang The Sarawak Report itu dibuat
mengikut peruntukan sedia ada dalam Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta
Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ahmad Shabery berkata, kerajaan
bagaimanapun boleh mengawal penyebaran maklumat yang tidak betul dan
yang boleh menjejas kestabilan politik dan keamanan negara.
Beliau berkata, misalnya China telah
awal-awal lagi menyekat rangkaian media sosial sebelum ia menjadi satu
keperluan utama rakyat negara itu untuk berhubung manakala Britain yang
lantang memperjuangkan hak kebebasan bersuara juga sedang mengkaji untuk
menyekat WhatsApp.
“Sebenarnya media sosial banyak berguna
kepada kita dalam kehidupan seharian tapi jika kita tidak tahu
mempertimbangkan maklumat yang disebarnya, ia boleh menghancurkan
negara,” katanya.
Menurutnya, ketika ini terdapat kira-kira
15 juta pemilik akaun Facebook di Malaysia dan ia merupakan antara
media sosial yang paling banyak digunakan bukan sahaja untuk berhubung
sesama rakan malah juga untuk tujuan perniagaan dalam talian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan