Bapa mangsa kesal kerana anaknya dipukul teruk seolah-olah negara ini tiada undang-undang.
PETALING JAYA: Keluarga mangsa pukul yang disyaki terbabit dengan kes curi lembu di Felda Jengka 17 yang menjadi viral di laman sosial pada Rabu bercadang untuk mengambil peguam bagi membersihkan nama baik keluarga mereka.
Azaki Hasan,44, bapa kepada Mohd Alif salah seorang mangsa yang dipukul dan mendapatkan rawatan di Hospital Jengka memberitahu, bersetuju untuk mendapatkan pandangan peguam bagi mendakwa mereka yang terbabit.
“Saya amat kesal kerana anak saya dan rakannya dipukul begitu teruk seolah-olah negara ini tiada undang-undang.
“Perbuatan sekumpulan lelaki itu membuktikan mereka tidak bertamadun bukan sahaja mendera secara fizikal tetapi juga memaksa mereka makan tahi lembu,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Felda Jengka Lapan pada Sabtu.
Beliau mendakwa anaknya, mohd Aliff dan rakannya itu pergi ke ladang ternakan lembu di Felda Jengka 17 atas urusan lain tetapi mereka telah dituduh mencuri lembu tanpa usul periksa.
Tegasnya, tindakan melampau sekumpulan lelaki itu memukul dengan teruk dan memaksa makan tahi lembu adalah satu perbuatan yang melampau dan tiada sifat kemanusiaan.
Azaki menambah, anak keduanya itu masih lagi berada dalam keadan lemah dan trauma.
“ Ketika ini dia banyak tidur dan `mamai’ kesan daripada pelbagai jenis ubat yang diberikan doktor semasa di hospital.
Dia turut mengakui tidak sanggup melihat rakaman perbuatan hina sekumpulan lelaki terhadap anaknya itu di laman sosial yang menjadi tumpuan pembaca malah tidak sanggup membaca berita berkaitan di akhbar.
Katanya, Mohd Alif cedera teruk di kepala dan badan dipukul oleh objek keras tetapi bernasib baik tidak patah pada mana-mana anggota.
“Saya yakin pihak polis profesional dalam membuat siasatan bagi mendakwa sekumpulan lelaki yang bertindak di luar batasan itu,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan