HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 Julai 2015

Kes lembu hilang: Ubat pelali mudah dibeli?

Kes lembu hilang: Ubat pelali mudah dibeli?
 
 
 
Soong Sing sempat memberikan senyuman untuk lensa Sinar Harian.
 
JAM menunjukkan hampir 7 petang. Tiba masa untuk bertindak. Kali ini, kebenaran mesti dibongkar. It’s now or never!
 
Sasaran pertama, sebuah farmasi di Jalan Datuk Sheikh Ahmad, Seremban. Dengan berhati-hati, kenderaan diparkir di tepi jalan. Peluh jantan mula memercik di dahi. Seribu satu kemungkinan terbayang dalam fikiran pada waktu ini.
 
Langkah diatur satu persatu. Cukup berat dirasakan walaupun tidak memikul sebarang beban.
 
Pintu dibuka dan kelihatan beberapa petugas farmasi sedang menantikan ketibaan pelanggan.
 
“Ya, encik. Boleh saya bantu?,” sapa salah seorang wanita di situ yang penulis kira berusia lingkungan 20an.
 
“Saya nak beli ubat bius atau pelali secara suntikan. Ada tak?,” jawab penulis ringkas dengan penuh debaran.
 
Saat ini, tidak dapat digambarkan perasaan penulis. Jantung berdegup kencang, lagaknya seperti menaiki roller coaster. 
 
Wajah wanita itu tampak sedikit berkerut, bagaikan petanda seolah ada yang tidak kena dengan pertanyaan penulis. 
 
“Maaf, encik. Kami tak jual ubat bius atau pelali. Itu bahan terlarang,” katanya memecah kesunyian. 
 
Hakikatnya, penulis memang sudah menjangkakan jawapan sedemikian. Maka pelan B perlu digunakan. Tiba masa untuk berlakon!
 
Dengan riak wajah yang tidak puas hati, penulis terus mendesak wanita terbabit. 
 
Kali ini, penulis meminta berjumpa dengan ahli farmasi mereka.
 
Beberapa petugas, termasuk pelanggan di situ mula memandang kepada penulis. Ada yang berbisik sesama sendiri.
 
Kira-kira lima minit kemudian, muncul seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Wong Pin Yew (bukan nama sebenar), 33.
 
Penulis puji Pin Yew. Walaupun berdepan dengan individu yang cuba membuat kecoh di premisnya, dia tetap tenang dan cukup berbudi bahasa.
 
Menurut penjelasan diberikan, setiap farmasi di negara ini terikat dengan peraturan yang cukup ketat. 
 
“Memang mustahil kalau encik nak dapatkan ubat bius atau pelali di farmasi, sebab kementerian langsung tak benarkan kami jual. 
 
“Kalau tak, nanti ramai yang salah gunakan untuk culik orang atau curi haiwan ternakan. Di klinik sekalipun, tak semua ada ubat pelali atau bius melainkan mereka yang buat pembedahan atau rawatan gigi,” katanya.
 
Bagaimanapun, katanya, tidak mustahil jika ada pihak tidak bertanggungjawab yang membawa masuk ubat berkenaan dari luar negara secara sembunyi dari pihak Kastam.
 
“Mungkin ada yang beli dari Thailand. Biasanya peraturan di sana tak terlalu ketat. Tapi, itu pun tak banyak, dalam satu atau dua ampule saja,” katanya.
 
“Hmm... very informative,” getus penulis sendirian selepas mendengar penerangan Pin Yew yang berpengalaman selama lapan tahun dalam bidang farmasi.  
 
Sebelum beredar, penulis mengambil keputusan untuk mendedahkan identiti dan tujuan sebenar kedatangan kepada Pin Yew.
 
Tampak jelas kelegaan di wajahnya. Sambil mengukir senyuman di bibir, dia mengiringi penulis ke muka pintu.
 
Destinasi seterusnya, sebuah farmasi di Dataran Senawang. Tetapi sebelum itu, penulis singgah dahulu di sebuah kedai nasi ayam di Jalan Dr Krishnan, Seremban untuk berbuka puasa.
 
Seusai berbuka puasa dan solat Maghrib, perjalanan diteruskan ke Farmasi Medivita untuk tugasan samaran berikutnya.
 
Kali ini, debaran kurang dirasai memandangkan cubaan pertama sudah pun berjaya ditempuhi di Seremban. 
 
Cuma, cabaran dihadapi untuk mencari parkir memandangkan orang ramai mula membanjiri bazar Ramadan di Dataran Senawang untuk membeli keperluan Aidilfitri.
 
“Assalamualaikum, encik. Nak beli ubat apa?,” tanya seorang pembantu kedai di situ.
 
“Walaikum salam. Saya nak cari ubat pelali atau bius. Ada jual?” Jawab penulis selamba.
 
Dia tercengang seketika. Seolah terkejut mendengar ayat yang keluar dari mulut penulis.
 
“Sekejap, encik. Saya kena tanya pada ahli farmasi sebab kurang pasti. Ini kali pertama saya dengar orang tanya macam ni,” katanya.
 
Selang beberapa minit kemudian, muncul pemilik premis bernama Zeti Akhtar Mokhtaruddin, 44, berpengalaman selama 17 tahun dalam dunia farmasi.
 
“Maaf, encik. Kami tak jual ubat bius dan pelali. Itu bahan terkawal. Salah besar kalau kami jual.
 
“Encik pergilah ke mana-mana farmasi sekalipun, tetap takkan jumpa. Kami (ahli farmasi) terikat pada peraturan Kementerian Kesihatan,” katanya.
 
Lagipun, katanya, agak tidak masuk akal untuk orang awam membeli sendiri ubat bius atau pelali, berikutan doktor atau pakar bius sahaja yang dibenarkan membuat suntikan.
 
“Kalau boleh beli sekalipun, encik tetap perlu jumpa doktor untuk dapatkan dos yang sesuai. Sebab itu, ubat bius dan pelali tak dijual di farmasi,” katanya.
 
Tidak ingin mengganggu perniagaan Zeti, penulis pun memperkenalkan diri dan menceritakan tujuan sebenar ke farmasi tersebut.
 
“Patutlah macam pelik saja soalan encik. Tak sangka pula wartawan menyamar jadi pelanggan.
 
“Mengenai kes curi lembu guna ubat bius atau pelali kononnya dibeli dari farmasi, saya tak pernah dengar pula,” katanya menjawab soalan ringkas diajukan penulis.
 
Hari berikutnya, tugasan diteruskan di sekitar Garden Homes dan Garden Avenue,
Seremban 2.
 
Sasaran ketiga merupakan Farmasi Concept kepunyaan Tan Soong Sing, 57, yang sudah menceburi perniagaan itu sejak 12 tahun lalu.
 
Selepas membuat beberapa persediaan, penulis pun menuju ke farmasi berkenaan. 
 
“Kriak...,” bunyi pintu dibuka. Kedengaran suara seorang wanita di kaunter menyambut kedatangan penulis.
 
“Ya, mahu apa?,” tanya wanita itu yang sedang membelek buku rekod jualan harian, barangkali.
 
Seperti sebelumnya, jawapan yang sama diberikan kepada mereka. Pastinya hendak mencari ubat bius atau pelali.
 
Wanita berkaca mata dan berbaju hitam itu memandang penulis ke atas dan ke bawah. Seolah-olah penulis telah melakukan sesuatu jenayah.
 
Tiba-tiba, dia berkata sesuatu kepada seorang lelaki di situ dalam bahasa Mandarin. 
 
“Ah... sudah. Jangan-jangan, mereka nak lapor pada polis sebab sangka aku penjenayah,” getus penulis dalam hati.
 
Muncul Soong Sing, bertanya lebih lanjut niat kedatangan penulis pada waktu itu.
 
“Kita tak jual, encik. You mahu buat apa beli ubat pelali? Mahu culik orang? Tak baiklah macam itu, kawan,” katanya dalam nada berseloroh.
 
Merah padam muka penulis menahan malu. Walaupun ayatnya secara bergurau dan sinis, tapi tajam menusuk kalbu.
 
“Kita ada peraturan, encik. Bukan suka-suka boleh jual semua ubat. Lagipun, kementerian ada buat pemeriksaan mengejut dalam dua tiga kali setahun,” katanya lagi.
 
Enggan mengeruhkan keadaan, penulis pun segera mengeluarkan kad wartawan dari kocek seluar sebelah kanan lantas menunjukkan kepada Soong Sing.
 
“Oh, you reporter rupanya. I ingat orang mahu buat jahat sama itu ubat bius,” katanya seraya tertawa besar.
 
Suasana yang tadi mula tegang, kini semakin kendur. Jelas bibit kemesraan terpancar pada wajah Soong Sing.
 
Penulis pun bertanya kepada Soong Sing, sama ada dia pernah mendengar khabar angin kononnya pencuri lembu membeli ubat pelali atau bius dari farmasi.
 
“Memang pernah dengar, tapi tak pasti betul atau tak. I percaya, insiden macam itu ada berlaku. Cuma tak tahu dari mana si penjenayah dapat ubat pelali.
 
“I harap pihak berkuasa dapat siasat perkara ini. Kalau dibiarkan, nanti mencemarkan imej semua ahli farmasi,” katanya.
 
Begitulah antara yang menarik untuk dikongsikan ketika penulis melakukan penyamaran di beberapa farmasi di sekitar Seremban, Seremban 2 dan Senawang.
 
Apa yang pasti, daripada lima hingga enam farmasi dikunjungi setakat ini, tiada yang menjual ubat bius atau pelali kepada orang awam.
 
Persoalannya, dari mana jarum dan ubat pelali melekat di badan lembu yang tidak berjaya dibawa lari, diperoleh si pencuri?
 
Betul kata Soong Sing. Pihak berkuasa perlu bertindak dan membongkar perkara ini. Supaya mereka tidak terus mendapat bekalan dengan
mudah. 
 
Juga supaya farmasi tidak dipersalahkan mangsa. Dituduh langgar undang-undang sewenangnya jual ubat pelali untuk cari untung!
 
 

Tiada ulasan: