THE RAKYAT POST
Apa yang dibimbangkan
adalah kesan Greece dalam EU yang dijangka memberi kesan kepada
Malaysia, meskipun tidak secara langsung. - Foto arkib AFP
KUALA LUMPUR- Krisis kewangan yang dialami Greece tidak memberi kesan secara langsung kepada ekonomi Malaysia.
Perkara itu dijelaskan pakar ekonomi,
Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin yang menjelaskan, Malaysia hanya
menjalankan dagangan dengan negara di bawah Kesatuan Eropah (EU), tetapi
tidak dengan Greece.
“Kita tidak banyak menjalankan urusan
dagangan dengan Greece, jadi kesan secara langsung tidak perlu
dibimbangkan,” ujarnya kepada The Rakyat Post.
Namun, katanya, apa yang dibimbangkan adalah kesan Greece dalam EU yang dijangka memberi kesan kepada Malaysia, meskipun tidak secara langsung.
Ini kerana, jelasnya, Malaysia banyak
berdagang dengan negara besar, seperti Perancis, Jerman dan Sepanyol
yang merupakan kuasa ekonomi besar dalam EU yang turut dikhuatiri akan
menerima tempiasnya.
“Greece menggunakan mata wang euro dan
jika ia mengalami masalah, maka ekonomi euro akan terjejas dan dengan
cara itu, Malaysia akan merasa tempiasnya, tetapi tidak secara
langsung,” katanya.
Mengulas dakwaan yang dibuat tokoh
wartawan, Datuk A. Kadir Jasin yang mendakwa Malaysia terdedah kepada
tuntutan Bank Eropah, beliau berkata, itu hanya telahan dan ia tidak akan berlaku seperti yang didakwa.
Jelasnya, Bank Dunia atau Eropah tidak akan memotong pegangan hutang Asia hanya untuk menyelamatkan Greece.
Namun, katanya, Singapura mungkin terkesan dengan krisis Greece, kerana negara itu banyak menjalankan dagangan dengan Greece.
Tetapi, perkara itu juga masih di luar jangkaan ekonomi.
“Bank Dunia tidak akan menyingkirkan Asia semata-mata untuk menyelamatkan Greece, ekonomi tidak akan jadi begitu.
“Ini global…kita mesti ingat kesan ekonomi Greece tidak besar, seperti tiga negara berkenaan (Jerman, Perancis dan Sepanyol).
“Ekonomi mereka besar dan jika mereka bermasalah, Malaysia akan terjejas teruk,” katanya.
Terdahulu, Kadir mendakwa Malaysia akan
turut terkesan akibat kejatuhan Greece daripada zon Eropah, selain Hong
Kong dan Singapura.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan