Mahmood Abdul Razak
KUALA LUMPUR - Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) menyerahkan
sembilan nama individu kepada polis untuk membantu siasatan berhubung
maklumat palsu mengenai dakwaan retakan pada landasan di Lebuhraya
Damansara Puchong (LDP).
Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Strategiknya, Mahmood Abdul
Razak berkata, individu berkenaan dipercayai memulakan ‘posting’ isu
berkenaan di laman sosial, berkongsi maklumat palsu, membuat komen yang
boleh dianggap sebagai fitnah.
“Mereka turut mendakwa landasan itu akan roboh, ia termasuk komen
daripada individu mendakwa sebagai jurutera berkhidmat dengan projek
itu.
“Kita telah melakukan pemeriksaan tidak ada nama individu berkenaan
atau syarikat sedemikian yang terlibat secara langsung dengan MRT Corp,”
katanya.
Mahmood berkata, khabar angin ini boleh menimbulkan kebimbangan
masyarakat terhadap projek berkenaan serta isu keselamatan pengguna.
“Kita memandang serius berhubung dakwaan palsu yang melibatkan isu
keselamatan di tapak projek pembinaan ini,” katanya pada sidang media
selepas membuat laporan di Balai Polis Travers, petang tadi.
MRT Corp akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
Laporan itu berikutan tersebarnya sekeping gambar memaparkan dakwaan landasan berkenaan retak.
MRT Corp sebelum ini mengeluarkan kenyataan berkenaan isu jaluran
kelihatan seperti keretakan itu sebenarnya terhasil daripada sambungan
jaring dipasang yang terhasil daripada sudut rakaman kamera serta
jaraknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan