KUALA LUMPUR, PAS sepatutnya lebih fokus untuk memulih sokongan pengundi terutamanya sokongan bukan Melayu Islam daripada terus khuatir akan kewujudan Gerakan Harapan Baharu (GHB).


Bekas ketua penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata kebimbangan PAS terhadap GHB akan menyebabkan berlakunya kemerosotan sokongan pengundi Melayu Islam khususnya dari kalangan pimpinan dan ahli PAS daripada pelbagai peringkat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ia jelasnya disusuli dengan tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh pimpinan parti itu yang dilihat mampu mengundang kemerosotan sokongan pengundi.

“Tetapi apa yang berlaku kesan di sebalik setiap perkataan yang dihamburkan ialah ia seumpama cirit birit mulut yang perlu dicari ubat bagi segera menghentikannya.

“Sejak berlarutan krisis dalam PR hingga kini boleh dikatakan banyak pihak menyatakan PAS akan menerima kesan kemerosotan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu pada PRU 14 akan datang.

“Apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh pimpinan PAS untuk memperbaiki keadaan dalam membendung kemerosotan undi bukan melayu khususnya pengundi cina pada PRU 14 akan datang. Sehingga sekarang saya masih belum nampak sesuatu telah dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Perkara itu katanya turut berkait dengan tindakan pimpinan PAS yang dilihat terlalu bimbang dengan kemunculan GHB dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan yang mengecam pimpinan GHB.

Menurut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, ketakutan PAS terhadap GHB sedikit sebanyak akan menyebabkan ahli PAS beralih arah kepada GHB.

“Respon PAS terhadap GHB memperlihatkan kerisauan, kebimbangan dan ketakutan PAS terhadap kemunculan Gerakan tersebut.

“Kenyataan-kenyataan PAS yang mengecam Harapan Baru dan pimpinan Harapan Baru akan membuka ruang untuk ahli PAS memberikan respon yang baik terhadap Harapan Baru,” ujarnya.

Sementara itu, Mahfuz juga menggesa pimpinan gerak kerja pilihan raya PAS supaya mengambil serius pandangan yang dilontarkan.

“Jangan sekadar hanya menyatakan yang penting bukan hanya kemenangan tetapi keredhaan Allah yang dicari.

“Kalau begitu, tidak perlulah PAS menyertai pilihan raya yang hanya menghabiskan wang,” katanya.