shahbudindotcom
Antara
intipati kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam
mengenai dakwaan pengaliran masuk wang berjumlah hampir AS$700 juta ke
dalam akaun peribadi Najib Razak oleh akhbar perniagaan berpengaruh,
Wall Street Journal (WSJ) ialah mahukan siasatan dilakukan terhadap
dakwaan itu.
Beliau
berpendirian pihak berkuasa penyiasatan seperti SPRM, Bank Negara,
polis dan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara perlu bertindak
menyiasat dakwaan yang menarik perhatian rakyat, media antarabangsa dan
menyentuh kepentingan awam itu.
Serentak
dengan itu, oleh kerana tuduhan WSJ itu bersifat peribadi, Muhyiddin
juga berpendapat wajar bagi Najib untuk memberikan penjelasan yang
meyakinkan atau membuat penafian dan sekiranya yakin semua tuduhan itu
tidak benar dan fitnah, maka perlu tindakan undang-undang diambil demi
membersihkan nama Perdana Menteri serta mengembalikan kredibiliti
kerajaan.
Tidak
seperti kenyataan kebanyakan pemimpin lain yang menolak mentah-mentah
dakwaan WSJ itu sambil berkata tidak mungkin begitu bodoh Najib
membenarkan wang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, kenyataan
Muhyiddin menimbulkan beberapa perkara menarik yang antaranya:-
- Mahu dakwaan terhadap Najib itu disiasat oleh pihak berkuasa bagi menentukan kebenarannya,
-
Tuduhan keatas Najib adalah bersifat peribadi dan wajar bagi Perdana
Menteri memberi penjelasan lebih meyakinkan atau membuat penafian,
- Mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ sekiranya tuduhan itu tidak benar dan fitnah.
Hanya
beberapa jam setelah Muhyiddin mengeluarkan kenyataan itu, Peguam
Negara Gani Patail segera tampil dengan mengatakan penubuhan pasukan
khas yang diangggotai oleh SPRM, polis dan Bank Negara sudah pun
melakukan serbuan di tiga premis yang didakwa menyalurkan wang ke dalam
akaun peribadi Najib itu serta mengambil beberapa dokumen daripadanya.
Gani juga mengakui beliau turut melihat dokumen yang sama sebagaimana yang dipetik oleh akhbar WSJ itu.
Ini bermakna, saranan Muhyiddin bukan saja didengar, tetapi sudah dilaksanakan oleh Peguam Negara.
Walaupun
Najib sudah menafikan mengambil sebarang dana daripada mana-mana entiti
untuk kepentingan peribadinya sebelum ini, penafian itu sebenarnya
tidak memadai. Sebab itu Muhyiddin mengulangi keperluan Najib memberi
penjelasan yang lebih meyakinkan.
Ini
kerana penafian itu tidak disokong oleh apa-apa dokumen serta bukti dan
perkara paling asas yang gagal dijelas atau dinafikan olah Najib ialah
berkenaan beberapa nombor akaun yang didakwa miliknya di Ambank itu.
Apakah susah sangat untuk menjelaskan sama ada betul atau tidak akaun bank itu miliknya?
Hanya
sekiranya yakin semua dakwaan itu tidak benar dan berupa fitnah,
barulah Muhyiddin mencadangkan tindakan undang-undang diambil terhadap
WSJ.
Dalam masa yang sama, Muhyiddin juga menyifatkan tuduhan terhadap Najib itu adalah bersifat peribadi.
Dalam
mencari kebenaran kepada semua persoalan ini, adalah perlu Muhyiddin
bergerak selangkah lagi dengan mengusulkan agar Najib mengambil cuti
sehingga siasatan dijalankan oleh pasukan petugas khas itu.
Sudah
tentu wujud kesukaran bagi SPRM, polis, Bank Negara dan Jabatan Peguam
Negara menjalankan tugas tanpa sebarang gangguan sekiranya Najib masih
ada sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan lantaran semua agensi
penyiasatan itu ada kaitan secara langsung dengan kedudukannya sedangkan
apa yang dituduh itu adalah bersifat peribadi.
Hanya dengan Najib mengambil cuti, semua tugas dan penyiasatan itu dapat dilaksanakan dengan adil, licin serta tanpa gangguan.
Dalam
isu pembelian hartanah di Melbourne dengan harga lebih mahal oleh Mara
Inc baru-baru ini, Pengerusi Mara Annuar Musa telah menunjukkan teladan
yang terpuji dengan merehatkan sementara Mohamad Lan Alani serta Abdul
Halim Abd Rahim yang merupakan Pengerusi dan CEO anak syarikat Mara itu
sehingga siasatan selesai dijalankan.
Dalam
tahun 1994 pula, Rahim Tamby Chik juga pernah direhatkan daripada
jawatan Ketua Pemuda UMNO berikutan ada dakwaan rasuah dan isu peribadi
yang dikaitkan terhadapnya. Selepas kesnya selesai dan namanya
dibersihkan, beliau kemudiannya dikembalikan semula memegang jawatan
tersebut.
Ini bermakna memberi cuti kepada mana-mana pemegang kuasa yang dalam siasatan bukanlah asing dan tidak pernah berlaku.
Meskipun
sebelum ini sudah ada beberapa pihak mencadangkan agar Najib mengambil
cuti untuk membolehkan siasatan berkaitan 1MDB dijalankan dengan lebih
adil terhadapnya, tetapi sekarang ini adalah detik dan masa yang paling
sesuai ianya diusulkan kembali.
Sudah
tentu, sebagai orang nombor dua dalam parti pemerintah dan kerajaan
yang sedang berkuasa, Muhyiddin adalah paling sesuai mencadangkan
pengambilan cuti itu kepada Najib.
Jika
tidak, sementara imej parti dan kerajaan terus terperosok di mata
rakyat, siasatan yang dijalankan oleh pasukan petugas khas itu juga
sentiasa diragui serta tidak diyakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan