HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 Julai 2015

Pantau Harapan Baru supaya tak pengaruhi ahli Pas

SINAR HARIAN


Pas



PASIR PUTEH - Pas Pasir Puteh sedang memantau pergerakan kumpulan penaja Gerakan Harapan Baru supaya tidak mempengaruhi ahlinya daripada berpaling tadah dan menyertai kumpulan itu.

Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad berkata, pihaknya kini turut memantau hala tuju dan corak kepimpinan Harapan Baru sama ada ia menepati kehendak Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Pas.

"Sehingga ini perjuangan mereka masih kabur dan tidak menentu," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Kelubi di sini, hari ini.   

Nik Mazian yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh mengulas kemelut dalaman Pas yang dikatakan semakin meruncing apabila beberapa bekas pemimpin parti itu yang tewas pada pemilihan jawatan parti pada awal bulan lepas bertindak melancarkan Harapan Baru.

Mereka bercadang untuk menubuhkan parti baharu bagi menggantikan Pas dalam pakatan pembangkang yang akan ditubuhkan pada September depan.   

Nik Mazian berkata, beliau dan dua Adun Pas dalam Parlimen Pasir Puteh iaitu Adun Gaal, Tuan Mazlan Tuan Mat dan Adun Limbongan, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah tetap kekal berjuang bersama Pas.

"Malah kita berhasrat untuk menawan dua lagi kerusi Dun yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) iaitu Semerak dan Selising pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Ditanya bai'ah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga sekiranya Adun dan Ahli Parlimen Pas di negeri ini meninggalkan parti itu atau melompat ke parti lain, Nik Mazian berkata mereka berkenaan perlu merujuk terlebih dahulu dengan ulama yang muktabar (masyhur) untuk mendapatkan padangan.  

"Saya bimbang jika mereka melakukan dengan sewenang-wenangnya, secara automatik akan menggugurkan talak tiga ke atas isteri yang tersayang," katanya. -  Bernama


Tiada ulasan: