Datuk Richard Riot
PUTRAJAYA - Pemberhentian kira-kira 10,000 pekerja di Malaysia dalam
tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah keadaan biasa dalam situasi
pasaran buruh yang stabil dan dinamik, kata Menteri Sumber Manusia,
Datuk Seri Richard Riot.
Beliau berkata, mengikut rekod Jabatan Tenaga Kerja, sebanyak 9,465
orang telah diberhentikan kerja dalam tempoh Januari hingga Jun tahun
ini dan daripada jumlah itu 820 adalah pekerja asing.
"Berdasarkan trend pemberhentian pekerja tiga tahun yang lepas,
kira-kira 10,000 (pekerja diberhentikan) dalam tempoh enam bulan pertama
adalah keadaan yang biasa. Pemberhentian pekerja pada tahun 2012 ialah
21,375 orang, 16,716 orang (2013) dan 14,248 orang (2014).
"Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menganggap
pemberhentian pekerja di Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama tahun
ini adalah dalam trend biasa dan normal," katanya dalam kenyataan di
sini hari ini.
Riot merujuk kepada laporan akhbar tabloid The Sun bertajuk “Grim Job
Market” pada 19 Julai iaitu 10,000 pekerja diberhentikan sehingga Julai
tahun ini.
Beliau berkata situasi pasaran buruh di negara pada masa ini adalah
stabil dengan kadar pengangguran 3.1 peratus sehingga Mei tahun ini.
Kadar penyertaan tenaga buruh pula telah meningkat daripada 67.6
peratus pada suku keempat tahun lepas kepada 67.7 peratus pada suku
pertama tahun ini, katanya.
Selain itu, Riot berkata kekosongan jawatan yang dilaporkan kepada
JobsMalaysia secara purata adalah 100,000 jawatan pada satu-satu masa
bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dan sejumlah 121,882 pekerja
berjaya ditempatkan melalui program-program di bawah JobsMalaysia.
"Namun demikian, kerajaan khususnya KSM sentiasa mengambil langkah
proaktif untuk menempatkan semula pekerja yang diberhentikan dan
menyediakan latihan yang sesuai," katanya.
Beliau berkata, KSM melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB)
menyediakan pelbagai skim latihan kepada pekerja yang bakal
diberhentikan kerja daripada sektor swasta.
Riot berkata, pelaksanaan skim-skim tersebut membolehkan golongan
pekerja tersebut memohon untuk mengikuti latihan semula dengan percuma
bagi mendapat kemahiran dan pekerjaan baharu.
"KSM juga memastikan pekerja yang diberhentikan mendapat pampasan
sewajarnya mengikut Akta Kerja 1955 atau perjanjian bersama antara
majikan dan pekerja," katanya.
Bagi menangani isu pemberhentian pekerja dalam jangka masa panjang,
khususnya jika berlaku kemerosotan ekonomi, Riot berkata kerajaan sedang
merangka Sistem Insurans Pekerjaan bagi melindungi pekerja yang
diberhentikan kerja oleh majikan.
"Antara faedah yagn dicadangkan di bawah sistem ini ialah seperti
elaun mencari pekerjaan, penempatan dalam pekerjaan baharu, elaun
latihan serta bayaran kos latihan bagi tempoh maksimum enam bulan,"
katanya.
Beliau berkata Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) menganggarkan kadar
pengangguran berada pada 2.9 peratus pada tahun ini dan menurun kepada
2.8 peratus menjelang 2020.
Berdasarkan pertumbuhan 5.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tempoh RMK11, dianggarkan kadar pertumbuhan purata guna tenaga adalah 2.1 peratus setahun yang bakal mewujudkan kira-kira 1.5 juta pekerjaan baharu menjelang 2020. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan