Pembelian hartanah iti lebih rendah daripada nilai semasa malah mendatangkan keuntungan kepada MARA Inc.
BANGI : Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal mempertahankan pembelian keempat-empat hartanah oleh anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu MARA Inc .
Menurutnya, pembelian tersebut lebih rendah daripada nilai semasa hartanah terbabit dan mendatangkan keuntungan kepada MARA Inc.
Katanya, proses pembelian hartanah tersebut juga mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk penilaian hartanah yang dilantik iaitu Raine dan Hourne International.
“Masa pembeliannya nilai yang kita beli jauh rendah daripada penilaiannya.Kalau ada jurunilai lain yang menyatakan sebaliknya, kita hanya memakai jurunilai yang kita lantik…jurunilai yang kita tahu ada tafsirannya yang pelbagai.
“Penilai-penilai yang dilantik oleh pihak Mara Inc adalah penilaian bertaraf antarabangsa. Bukan penilai yang tidak ada pengalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas melancarkan Penghayatan Wasatiyyah dan Ihya’ Ramadan di German-Malaysia Institute (GMI) pada Isnin.
Shafie yang juga merupakan Ahli Parlimen Semporna turut menyifatkan pembelian aset-aset tersebut sebagai produktif.
“Macam Dudley House masa kita beli, ia bernilai AUD 22.6 juta tetapi sekarang nilai AUD 27.95 juta dan hasilnya selain ia mampu kita bayar hutang bank,” tegasnya.
Mengulas mengenai dakwaan Pengarah Eksekutif National Oversight and Whistleblowers (NOW), Rafizi Ramli, yang mendakwa pembelian hartanah keempat 746 Swanston Street ditandatangani oleh individu yang tidak mempunyai kaitan dengan MARA.
Shafie berkata, perkara tersebut di luar pengetahuannya dan ia tidak mempunyai kaitan dengan MARA.
“Apa yang kita tahu adalah perjanjian-perjanjian tersebut dilakukan oleh badan-badan MARA Inc.
Sebarang transaksi yang dilakukan sebelum itu adalah di luar pengetahuan saya.
“Sebagai contoh, bagi urusniaga 746 Swanston Street, pembelian dilakukan pada 28 Ogos 2008. Jika ada sebarang perjanjian sebelum tarikh itu, ia tidak ada kaitan dengan kita,” ujarnya
“Di samping itu juga terdapat juga pulangan keuntungan sebanyak AUD100,000 setiap bulan yang saya difahamkan oleh pihak pengurusan MARA Inc. Tidak ada kerugian. Tidak ada yang meragukan mengenai aset-aset ini,” tegasnya.
Mengulas adakah pihaknya akan mengambil tindakan terhadap Rafizi jika tuduhan yang dilemparkannya adalah palsu, Shafie berkata pihaknya menunggu keputusan siasatan.
“Segala kenyataan yang dilemparkan oleh Rafizi adalah tuduhan semata-mata. Jika siasatan mendapati dakwaannya adalah palsu, kita akan menentukan tindakan yang selanjutnya,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan