SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pemberi maklumat yang membuat pendedahan tentang dakwaan wujudnya sesuatu salah laku, tidak boleh dilindungi oleh undang-undang sekiranya mereka menghebahkan perkara itu melalui media.
Khalid membuat kenyataan itu melalui akaun Twitternya hari ini, berikutan tindakan Kementerian Dalam Negeri menggantung penerbitan 'The Edge Weekly' dan 'The Edge Financial Daily', selama tiga bulan mulai Isnin ini.
Beliau berkata perbuatan memukul canang mengenai apa yang didakwa sebagai 'pendedahan sahih' tentang sesuatu salah laku melalui media, akan hanya mengundang salah faham, persepsi salah dan huru-hara.
Menurut Khalid, undang-undang negara ini hanya memberi perlindungan kepada pemberi maklumat yang menggunakan saluran sewajarnya dan polis tidak akan membiarkan orang ramai diperdaya oleh mereka yang mempunyai motif tersembunyi.
"Pemberi maklumat pasti mendapat perlindungan di bawah undang-undang Malaysia, dengan syarat mereka menampilkan diri dengan cara yang sewajarnya, dari segi undang-undang, @PDRMsia menyambut baik pemberi maklumat tulen," tulis beliau. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan