KUALA LUMPUR- Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun mendakwa pendedahan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli telah mengaibkannya malah menyebabkan Thrushcross Land Holdings Limited mengalami kerugian sebanyak RM63 juta.

Khairul yang juga merupakan salah seorang pengarah syarikat Biosis Group Berhad berkata, beliau membuat laporan polis kerana Rafizi telah membuat beberapa tuduhan yang tidak berasas dan palsu melalui kenyataan media bertarikh 6 Julai lalu.

Menurutnya, ketika di Pullman Bangsar, beliau terbaca kenyataan itu menerusi beberapa portal dalam talian dan satu sidang media telah diadakan oleh Rafizi di mana beberapa tuduhan tidak berasas dilemparkan kepadanya.

“Antaranya seperti saya terlibat dalam pembelian 746 Swanston Street oleh syarikat milik penuh Mara Inc. melalui Thrushcross Land Holdings Limited kerana saya mempunyai kepentingan dalam urusniaga ini.

“Urusniaga ini telah menyebabkan Thrushcross Land Holdings Limited mengalami kerugian sebanyak RM63 juta dan telah menyebabkan saya mengalami keaiban dan kerugian,” katanya.
Beliau berkata, kerugian itu juga menjejaskan reputasinya dan membentuk persepsi negatif atas nama baiknya, keluarga, Pergerakan Pemuda UMNO dan UMNO.

“Saya telah dinasihati dan sesungguhnya saya percaya tindakan Rafizi membuat kenyataan fitnah dan palsu itu adalah satu kesalahan jenayah termasuk dan tidak terhad kepada kesalahan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Tujuan saya buat laporan polis ini pun adalah agar satu siasatan yang sewajarnya diambil oleh pihak polis terhadap Rafizi,” katanya.