shahbudindotcom
Tindakan
kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau
SKMM menyekat laman web Sarawak Report atas dakwaan mengganggu
kestabilan negara bukan saja dikecam ramai kerana menyekat kebebasan
rakyat daripada memperolehi maklumat, malah tindakan itu hanyalah kerja
sia-sia saja.
Meskipun
rakyat negara ini disekat daripada mengakses laman itu secara langsung,
tetapi ia masih boleh ditembusi melalui kaedah proksi atau dengan
menggunakan pelbagai aplikasi yang boleh dimuatturun secara mudah
menggunakan gajet pintar sama ada Android atau IOS.
Di
laman sosial FB dan mesej Whatsapp, tidak berapa lama selepas sekatan
itu diumumkan oleh SKMM, pakar-pakar teknologi maklumat tempatan secara
sukarela dengan pantas berkongsi ilmu pengetahuan tentang cara mengakses
laman Sarawak Report yang sudah disekat itu.
Ia
kemudian dikongsi secara meluas dan dengan lantas berpindah daripada
satu tangan ke tangan yang lain atau daripada satu grup ke grup yang
lain.
Yang
lebih rajin pula, mereka turut membuat "copy" berita-berita terbaru
mengenai Malaysia daripada Sarawak Report itu untuk dikongsi melalui
grup Whatsapp oleh sebanyak mungkin rakyat negara ini.
Sama
seperti perkongsian ilmu pengetahuan untuk mengakses lama web yang
sudah disekat itu, berita yang "dicopy" itu juga pantas berpindah tangan
dari satu grup ke satu grup yang lain dan akhirnya hampir semua orang
yang memiliki telefon pintar, langsung tidak merasa tersekat daripada
membaca berita terbaru daripada Sarawak Report.
Malah
dalam mesej oleh Sarawak Report yang sudah bertaburan disebarluaskan
melalui media sosial dan pelbagai aplikasi pesanan, alamatnya yang
sebelum ini www.sarawakreport.org, sebenarnya turut boleh dibuka melalui alamat baru iaitu www.sarawak-report.org.
Saya
sendiri sudah mencubanya melalui alamat baru yang diberikan oleh
Sarawak Report itu dan ternyata ia boleh dibuka seperti biasa.
Dengan
ini, tindakan SKMM menyekat laman web Sarawak Report atas dakwaan
mengganggu kestabilan negara berikutan beberapa laporannya mengenai
1MDB, Najib Razak dan Rosmah Mansor, hanyalah sia-sia dan langsung tidak
berkesan.
Ia umpama "menjaring angin" semata-mata.
Hakikatnya
dalam dunia langit terbuka dan teknologi maklumat yang pantas
berkembang sekarang ini, kepandaian dan keinginan manusia terhadap
sesuatu perkara semakin sukar dibatasi.
Meski
disekat dan dihalang sekali pun, berdasarkan ilmu pengetahuan dan
kepakaran yang masing-masing miliki, mereka akan terus berusaha dan
mencuba sehingga berjaya dan akhirnya terbukti mereka lebih pintar serta
beberapa langkah ke hadapan berbanding SKMM sendiri.
Ini
sekaligus menjadikan langkah sekatan itu bukan saja memalukan SKMM dan
kerajaan sendiri, malah menyebabkan semakin ramai menjauhi "kerajaan
tertutup" yang dipiimpin oleh Najib sekarang.
Dalam
masa yang sama, sekatan SKMM juga menjadikan Sarawak Report lebih
popular, digilai dan dicandui oleh rakyat yang dahagakan maklumat.
Bagi
sesetengah pihak, mereka menganggap sekatan itu adalah salah satu cara
kerajaan menyekat rakyat daripada kebebasan maklumat serta seolah-olah
menidakkan kecerdikan dan jati diri rakyat dalam menilai antara benar
dan palsu sesuatu perkara itu.
Lalu,
makin disekat makin ramai yang merindui dan menunggu-menunggu apa lagi
pendedahan seterusnya daripada Sarawak Report ini.
Ini adalah antara aplikasi yang boleh dimuatturun bagi membolehkan membuka laman Sarawak Report yang sudah disekat itu...
Printscreen Sarawak Report yang dibuka pagi tadi melalui alamat baru www.sarawak-report.org...



Tiada ulasan:
Catat Ulasan