KUALA LUMPUR, Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown menjauhi segala urusan dalaman negara dengan menyamakan tindakannya seperti penjajahan British pada zaman pra-kemerdekaan.


Perkara itu disuarakan Ketua Hal Ehwal Bumiputera Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Mohd Faizan 
Alias yang mewakili NGO berkenaan, turut mempersoal hak Brown untuk campur tangan dalam hal ehwal negara meskipun statusnya adalah seorang bukan warganegara.

“Saya sebagai warganegara Malaysia dan pemegang kad pengenalan di negara ini ingin bertanya Brown mengenai siapa dia.

“Siapakah anda untuk mengkritik dan menyebarkan penipuan mengenai negara kita, menyebabkan ketidakstabilan dan konflik di kalangan rakyat?

“Adakah anda suka jika kami pergi dan campur tangan dalam hal ehwal negara anda? Sudah tentu anda dan Perdana Menteri anda tidak suka,” katanya.

Mohd Faizan berkata demikian kepada pemberita di luar Suruhanjaya Tinggi British selepas menyerahkan memorandum mendesak kerajaan United Kingdom dan David Cameron untuk menghentikan Brown daripada terus menerbitkan lebih banyak artikel berkaitan Malaysia.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Cameron, Mohd Faizan mengingatkan hakikat bahawa Sarawak Report telah ditubuhkan atas dasar melaporkan perkara-perkara berkaitan alam sekitar terutamanya pembalakan haram di Sarawak.

Beliau berkata daripada berpegang teguh kepada misinya, Sarawak Report telah menyimpang dengan menerbitkan yang menjejaskan keamanan dan keharmonian di negara ini, kebanyakannya bergantung kepada sumber-sumber yang tidak boleh dipercayai, pembohongan dan fitnah.

Jelasnya, perkara yang melibatkan negara ini seharusnya dibiarkan kepada rakyatnya serta kerajaan yang memerintah dan juga parti pembangkang untuk memastikan wujudnya keadilan dan keseimbangan.

“Adakah ini satu niat buruk Brown yang bermotifkan untuk mewujudkan huru-hara di Malaysia? Sebelum ini mereka (British) menjajah negara kita secara fizikal dan ini satu cara Brown untuk memprovokasi rakyat Malaysia?

“Jika orang-orang dari luar Malaysia mempunyai bukti salah laku yang dilakukan oleh kerajaan, mereka boleh menyampaikan maklumat kepada pembangkang dan biarkan mereka mengendalikan perkara itu kerana mereka mempunyai hak untuk menyuarakan,” ujarnya.

Sarawak Report diketuai oleh Brown telah menerbitkan artikel termasuk dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas editor Sarawak Tribune, Lester Melanyi mendedahkan bahawa kebanyakan laporan yang dikeluarkan telah direka, menerusi penyebaran klip video.

Satu pasukan petugas khas yang terdiri daripada Bank Negara, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah ditubuhkan untuk menyiasat semua dakwaan yang dibuat mengenai 1MDB.