KUALA LUMPUR, Kerajaan Malaysia kini sedang diancam daripada serangan dalam dan luar negara yang menyasarkan kepada sektor ekonomi dan kewangan negara.


Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Mohamad Md Yusoff berkata ancaman luar tersebut dapat dilihat melalui sentimen tidak sihat yang dimainkan oleh agensi luar seperti Bank Dunia dan juga Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang memberikan kesan kepada mata wang negara.

Menurut beliau, sentimen-sentimen yang mengatakan kos sara hidup negara meningkat, inflasi dan sebagainya jelas berjaya menakutkan para pelabur dan ia sekaligus mengancam ekonomi negara.

“Malah kerajaan juga turut diancam melalui serangan media luar seperti Wall Street Journal (WSJ), Sarawak Report (SR) dan juga media tempatan yang tidak henti-henti memainkan isu yang tidak jelas akan kebenarannya terutamanya melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Media-media ini dibantu oleh orang dalam seperti beberapa pimpinan pembangkang yang dilihat cuba merancang satu pelan untuk menjatuhkan kerajaan yang ada pada hari ini melalui isu yang direkacipta dengan bantuan media.

“Perkara ini adalah sangat menakutkan kerana tindakan menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat dengan cara sebegitu rupa adalah salah di sisi undang-undang dan mereka cuba melakukan rampasan kuasa atau ‘Kudeta’ melalui isu-isu penyelewangan dan ekonomi yang belum dipastikan kebenarannya,” katanya kepada The Rakyat Post.

Sementara itu, mengulas mengenai larangan untuk keluar negara yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Petaling Jaya dan Pandan, Tony Pua serta Rafizi Ramli, Mohamad memberitahu tindakan tersebut wajar dilakukan kerana mereka didakwa mempunyai kaitan mengubah suai data melibatkan bekas eksekutif PetroSaudi, Xavier Andre Justo.

Jelasnya, tindakan tersebut perlu dilakukan bagi menghalang sekiranya terdapat lagi data dan maklumat yang berkaitan isu 1MDB yang telah diubah daripada dibawa keluar atau dipadamkan.

“Mereka ini mungkin terlibat dalam siasatan pihak berkuasa berkenaan isu 1MDB dan sudah tentu kerajaan melalui Jabatan Imigresen Malaysia mempunyai hak untuk menghalang mereka keluar negara.

“Negara kini sedang diancam dan langkah-langkah pencegahan seperti ini wajar dilakukan begitu juga dengan menyekat laman web SR yang dilihat mengancam keselamatan negara,” ujarnya.