KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan kekecewaan mereka, selepas agensi penguatkuasaan di Cameron Highlands gagal menjalankan tugas mereka sejak tahun lalu.


Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, tugas agensi penguatkuasaan bukan sahaja membanteras aktiviti penerokaan tanah secara haram, tetapi juga mencegahnya.

Jelasnya, SPRM berharap mereka yang terbabit, dapat membuat tindakan susulan, seperti menguatkuasakan akta racun dan menangkap pendatang asing tanpa izin.

“Suruhanjaya sedia berkongsi maklumat dengan semua agensi penguatkuasaan terlibat bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

Mohd Shukri turut memberi amaran kepada petani, usahawan dan ahli perniagaan agar tidak merasuah penjawat awam dalam usaha untuk meneruskan kegiatan haram mereka.

Beliau turut menasihatkan penjawat awam supaya menjalankan tugas mereka dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.

“SPRM akan terus menjalankan pemantauan situasi di Cameron Highlands, bagi memastikan tiada aktiviti rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau turut terkejut dengan penahanan seorang warga Bangladesh berusia 42 tahun menerusi operasi.

Katanya, lelaki terbabit menetap di Malaysia selama 10 tahun dan memiliki sebuah syarikat di Cameron Highlands bernilai RM500,000 serta sebuah kereta baru jenis Toyota Camry.

Tambahnya, dua lagi petani telah menyerah diri kepada SPRM, menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan setakat ini ialah 21 orang.

“Hasil siasatan juga mendapati, petani berkenaan cuba memberi rasuah kepada penguat kuasa dalam cubaan untuk menjalankan kegiatan haram,” katanya.

Semua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, kerana cuba merasuah pegawai penguat kuasa.

“Malah, ada petani yang cuba memberi rasuah lebih RM30,000,” katanya.