KUALA LUMPURSepasukan polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) berbalas tembakan dengan sekumpulan penceroboh berdekatan Pulau Pom-pom, di Semporna.


Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Abdul Rashid Harun yang dipetik The Star berkata, insiden itu berlaku selepas polis mendengar bunyi enjin bot berhampiran lokasi berkenaan, sekitar jam 3 pagi Isnin lalu.

Katanya, polis kemudiannya menyuluh ke arah lokasi bunyi enjin bot berkenaan, sebelum terdengar bunyi tembakan.

“Mereka kemudiannya membalas tembakan berkenaan, sebelum mendengar bunyi enjin bot itu semakin jauh.

“Penceroboh terbabit yang berada dalam jarak 200 meter, bagaimanapun berjaya melarikan diri.

“Kami percaya mereka adalah penceroboh atau penjenayah rentas sempadan, namun siasatan akan dijalankan bagi mengetahui sama ada mereka sebenarnya adalah penduduk yang tinggal berhampiran,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada sebarang kecederaan dialami anggota polis terbabit.

Menurut Abdul Rashid, pasukan keselamatan ditempatkan di beberapa lokasi sekitar kawasan yang sering menjadi tumpuan penjenayah rentas sempadan.

November tahun lalu, seorang pelancong warga Taiwan maut ditembak, manakala isterinya dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata dari Filipina yang menyerbu sebuah pusat peranginan di Pulau Pom-pom, di perairan Semporna.

Lim Min Hsu, 57, ditemui mati dengan dua kesan tembakan di dada, manakala isterinya, Chang An Wei, 58, ditahan sebagai tebusan.

Dia dibebaskan sebulan kemudian.