Wak Tumin menunjukkan pusara arwah Dirang yang menjadi mangsa pembunuhan kejam sering diziarahi
keluarganya.
PASIR GUDANG - Wak Tumin atau nama sebenarnya Tukimin Mijo, 65,
merupakan orang penting setiap kali adanya kematian di sekitar kawasan
Masai, di sini.
Tugasnya sebagai penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pertanian Masai sejak 1970-an menjadikan ia dikenali oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Pada mulanya, Wak Tumin yang selalu membantu bapanya menggali kubur sekitar 1970-an seolah-olah terpanggil untuk berkhidmat sepenuh masa di tanah perkuburan itu bermula 2012.
Meskipun berkhidmat secara sukarela tanpa gaji bulanan daripada mana-mana pihak, namun Wak Tumin ikhlas bagi memastikan kawasan tanah perkuburan itu bersih dan terjaga.
“Walaupun kerja kita tak bergaji, tapi ihsan daripada ahli keluarga si mati ada yang memberi upah menggali kubur, selain kita menerima tempahan batu nisan dan membersihkan kepuk.
“Apa yang penting niat kita kerana ALLAH kerana satu hari nanti walaupun tak tahu bila kita juga akan berada di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Kejadian misteri menginsafkan
Beberapa pengalaman mistik yang dialami dijadikan pengajaran untuk sentiasa mengingati ALLAH.
Katanya, pernah berlaku jenazah tidak dapat dimasukkan ke dalam liang lahad kerana sempit dan lubang kubur yang dipenuhi takungan air, walaupun cuaca tidak hujan.
“Saya tak pernah jumpa benda ghaib sepanjang berkhidmat sebagai penggali kubur, cuma pernah terjadi ketika berada di dalam liang lahad kita terbau sesuatu yang sangat busuk.
“Pernah juga jenazah tak dapat dimasukkan ke dalam liang lahad kerana tak muat, tapi kita tak mahu menuduh bukan-bukan kerana mungkin kita tersalah ukur.
“Pernah juga berlaku takungan air di dalam liang lahad, tapi terpaksa disempurnakan juga pengebumian dan berdoa semoga ALLAH mengampunkan dosa-dosa hamba-NYA,” katanya.
Wak Tumin tidak pernah patah semangat setiap kali diuji, sebaliknya terus tabah menyempurnakan amanah keluarga si mati.
Tepis anggapan karut
Katanya, masih ada masyarakat yang menganggap tanah perkuburan sebagai tempat ‘keras’ seperti yang berlaku selepas pengebumian mangsa bunuh.
“Ada kita dengar macam-macam cerita mengenai tanah perkuburan, tapi yang berlaku disebabkan mereka yang tidak menghormati tempat persemadian orang yang sudah meninggal dunia.
“Sebab itu saya selalu nasihatkan apabila masuk ke tanah perkuburan jangan lupa beri salam sebagai menghormati orang yang telah meninggal dunia kerana di sini tak ada apa yang menakutkan sekiranya betul caranya,” katanya.
Wak Tumin turut menasihatkan orang ramai yang ingin melawat pusara orang tersayang pada Hari Raya nanti supaya tidak meninggalkan sampah seperti botol air atau plastik balutan bunga.
“Saya minta tolong sangat jangan kotorkan tanah perkuburan. Tak salah nak bawa botol atau bunga, tapi jangan dibuang merata kerana kawasan ini tempat persemadian orang yang telah meninggal dunia.
“Hormati tempat persemadian orang yang telah meninggal dunia, selain mulakan dengan salam dan berpakaian menutup aurat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan