THE RAKYAT POST
Shahrir berkata, dalam
pertemuan yang turut dihadiri Abdul Rahman itu, beliau hanya bertanyakan
hala tuju syarikat tersebut kepada Arul Kanda, tanpa menyentuh sebarang
isu membabitkan siasatan PAC.
JOHOR BAHRU- Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad mempertahankan pertemuan dengan Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy sebelum ini.
Beliau menegaskan, tiada sebarang konflik
kepentingan berlaku susulan pertemuan itu, dengan siasatan yang sedang
dijalankan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas syarikat
itu.
Sebaliknya, Shahrir yang pernah mengetuai
PAC pada 2004 berkata, dalam pertemuan yang turut dihadiri Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan itu, beliau
hanya bertanyakan hala tuju syarikat tersebut kepada Arul Kanda, tanpa
menyentuh sebarang isu membabitkan siasatan PAC.
“Saya hanya bertanya soal perancangan masa hadapan, apa yang dia (Arul) nak buat. Soal sejarah, saya tak masuk campur.
“Saya sendiri tak tahu apa yang PAC nak
buat, saya tak tahu apa yang PAC nak tanya. Saya juga tak tanya
berkaitan akaun, saya cuma tanya lepas ini apa cadangannya,” katanya
kepada The Rakyat Post, ketika ditemui baru-baru ini.
Baru-baru ini, Shahrir dilaporkan
mengadakan pertemuan bersama Arul yang jelasnya bertujuan memahami isu
dan konflik berhubung syarikat pelaburan itu dengan lebih mendalam.
Pertemuan itu berlangsung sehari, selepas
tarikh Arul Kanda sepatutnya berjumpa PAC, yang mana perkara itu turut
diakui Presiden 1MDB itu.
Arul Kanda turut menjelaskan, pertemuan itu tidak bertujuan apa-apa, selain sebagai medan untuk mendapatkan maklumat.
Malah, beliau turut menyifatkan Shahrir sebagai seorang yang bijaksana.
“Saya Pengerusi PAC pada 2004, selepas
itu pada 2008 diambil alih Azmi Khalid dan kemudian pada 2013 dipegang
(Datuk) Nur Jazlan.
“Jadi, tahun saya jadi pengerusi dah lepas dua penggal dulu, jadi tiada apa yang saya nak (dan boleh) bantu.
“Sebab saya yakin mereka lagi tahu,
di mana (Datuk) Shahrol (Azral Ibrahim Halmi) adalah bekas CEO yang
tertakluk bahawa PAC 2011, yang tahun 2012 ini Arul baru ambil alih,”
kata Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi.
Pertemuan tersebut berlangsung selama tiga jam dan diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan