MALAS menghadapi kesesakan lalu-lintas dan orang ramai menyebabkan membeli-belah secara atas talian (online) terutama pada musim perayaan dalam kalangan rakyat Malaysia bukan lagi asing, malah kini menjadi gaya hidup.
 
Dengan menggunakan telefon pintar, komputer riba dan tablet yang boleh dilayari di mana-mana sahaja, pembelian keperluan barang Aidilfitri boleh dibuat tanpa perlu beratur panjang di kaunter untuk membuat pembayaran.
 
Laman sosial seperti Facebook dan Instagram serta laman web menjadi medium kepada peniaga untuk mempromosikan produk mereka seperti biskut raya, baju Melayu, baju kurung, selendang, tudung dengan rekaan terkini.
 
Bagi kakitangan awam, Roshakina Mat Zuki berkata, dia membeli baju raya secara online kerana ia boleh diakses 24 jam melalui telefon bimbit dan komputer riba untuk melihat rekaan dan material yang digunakan sekali gus membuat perbandingan.
 
“Saya tidak perlu pergi setiap butik untuk melihat baju raya yang dijual. Saya hanya membuat perbandingan harga, jenis kain dan material yang digunakan dengan masa yang minima.
 
“Pembelian di hujung jari sahaja dan lebih murah serta berkualiti berbanding yang dijual di pusat membeli-belah. Harga setiap baju bergantung kepada kualiti kain dan jahitannya” katanya.
Tambahnya, jika bimbang mengenai saiz baju, dia akan meminta peniaga dalam talian untuk memberikan senarai ukuran badan supaya tidak salah memilih.
 
“Pada tahun ini, saya membeli melalui Zalora. Kadang-kadang saya melihat di Instagram dan berkunjung ke butik berkaitan, malangnya, baju yang  menjadi pilihan tidak ada saiz dan tidak ada stok,” katanya.
   
Jimat masa

Bagi kakitangan awam, Siti Najwanis Zainun, dia berjinak-jinak dalam pembelian atas talian sejak dua tahun lalu selepas melihat rakan-rakan membeli barang keperluan hari raya seperti baju raya, kuih raya dan selendang melalui medium tersebut.
 
“Selalunya saya akan membuat pembelian lebih awal kerana bimbang baju yang ditempah tidak akan sampai tepat pada masanya.
 
"Setakat ini, Alhamdulillah, baju-baju ditempah memuaskan hati,” katanya.
 
Tambahnya, pembelian secara online juga menjimatkan masa kerana tidak perlu pergi ke butik yang terletak di Lembah Klang.
 
“Pembelian online sering dikaitkan dengan penipuan. Saya hanya membeli di butik dan peniaga kuih raya yang diyakini sahaja kerana takut ditipu oleh mereka yang mahu mengaut keuntungan atas angin sahaja,” katanya.
 
Siti Najwanis berkata, setiap pembelian yang dilakukan, dia akan memastikan maklumat mengenai alamat perniagaan, identiti peniaga dan maklumat lain diperolehi bagi membantu dirinya untuk mendapat ganti rugi sekiranya berlaku penipuan.
 
Sementara itu, pekerja swasta, Khairul Anwar Abd Rahim, membeli-belah di hujung jari menjadi trend pada masa kini.
 
“Saya mula membeli persiapan raya seperti jubah lelaki dari butik di Lembah Klang sejak tahun lalu. Saya membeli secara online selepas melihat beberapa pilihan dari pelbagai butik.
 
“Kali ini merupakan kali keempat saya membeli persiapan raya melalui online. Saya juga membelikan tudung kepada isteri saya melalui online,” katanya.
   
Menerima banyak pelanggan baharu
 
Bagi pemilik D’Sembilan Sembilan Enterprise, Rohizan Abd Rahman, tempahan kuih raya dan instant shawl melalui perniagaan online meningkat berbanding pada tahun lalu.
 
“Alhamdulillah, pada tahun ini, tempahan biskut raya bertambah malah menerima banyak pelanggan baharu dari utara Semenanjung Malaysia.
 
"Saya mula mempromosikan biskut raya dan tudung pada awal Jun lalu,” katanya.
 
Rohizan berkata, selain menjual lebih lima jenis biskut raya sendiri, dia juga menjual biskut raya yang dibuat rakan-rakannya.
 
“Saya menjual biskut raya tart nenas, cheder cheese, short bread, zara licious dan hayden delight serta semperit dengan harga yang berpatutan iaitu RM25,” katanya.
 
Tambahnya, bagi instant shawl pula, Rohizan menjual untuk kanak- kanak dan dewasa.
 
Tempahan di Bak meningkat
 
Pengarah Eksekutif II Bak Tailoring Sdn Bhd (Bak), Sharief Sohaimi  berkata, jualan pakaian raya keluarannya meningkat pada tahun ini.
 
"Alhamdulillah, pembelian secara online meningkat pada tahun ini berbanding tahun lalu," katanya.
 
Bak yang terkenal dalam industri fesyen negara terlibat dalam perniagaan atas talian sejak beberapa tahun lalu seiring dengan perkembangan teknologi dan trend  pembelian pada masa ini.
 
“Bak menyediakan baju Melayu moden, samping dan butang baju Melayu pada harga RM170 sahaja. Laman web Bak dipantau 24 jam sehari,” katanya.
 
Sharief berkata, selain mempunyai laman web rasmi, Bak juga memperkukuhkan perniagaannya dalam laman sosial seperti di Instagram dan Facebook.
 
Tambahnya, melalui online, Bak dapat menembusi beberapa negara kerana pelanggan terdiri daripada masyarakat Melayu dari Singapura, Brunei, Australia dan Amerika Syarikat.