KUALA LUMPUR, Koordinator #langkahSiswa Mohamad Amar Atan berkata, cadangan polis untuk menggunakan senjata renjat dalam himpunan Bersih 4 akan menjuruskan kebangkitan mahasiswa seperti yang berlaku di Indonesia ketika pemerintahan Sukarno.


Menurutnya, cadangan itu diibaratkannya seperti mengancam dan menakut-nakutkan rakyat agar tidak turun berdemonstrasi pada 29 dan 30 Ogos ini.

“Tidak wajar menggunakan senjata renjat kerana asas rakyat berdemonstrasi adalah termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang apatah lagi Bersih 4 tidak berbentuk kekerasan.

“Cadangan polis mengunakan senjata renjat seolah-olah rakyat Malaysia mahukan keganasan dan kekerasan,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan Parlimen hari ini.

Terdahulu seramai 30 mahasiswa berarak dari Bank Negara ke bangunan Parlimen bagi menuntut agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Kumpulan mahasiswa itu bermalam di bahu jalan di hadapan pintu utama bangunan Parlimen malam tadi dan hari ini merupakan hari kedua mereka.

“Kalau dulu pada masa Sukarno mahasiswa ditembak kerana melawan kerajaan dan mahu mematikan gerakan kebangkitan pelajar, namun semakin ramai rakyat Indonesia bangkit semula melawan kerajaan,” katanya.

Semalam pihak polis mencadangkan akan menggunakan senjata renjat terhadap peserta himpunan BERSIH 4.0 jika berlaku insiden rusuhan atau keganasan.

Polis mempunyai beberapa kelengkapan itu dan sebahagian polis yang mahir menggunakannya akan ditugaskan pada hari himpunan tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan akan menggunakan senjata renjat (taser gun) terhadap peserta perhimpunan Bersih 4.0 hujung minggu ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan berkata, senjata berkenaan memang dimiliki pasukan polis dan diagihkan untuk kegunaan anggota.

“Taser gun ini dapat melumpuhkan sementara atau melemahkan pesalah atau penjenayah tapi tidak akan digunakan untuk perhimpunan Bersih,” katanya memetik laporan itu.