HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Ogos 2015

‘Derma’ untuk selamatkan maruah Najib

Oleh Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR : Penjelasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri bukan dari sumber kewangan 1Malaysian Development Berhad (1MDB) sangat meragukan.

Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata, penjelasan itu semata-mata bertujuan meredakan kemarahan rakyat yang kini semakin hilang percaya terhadap kerajaan korup Umno Barisan Nasional.

Ia ekoran kemelesetan ekonomi dan bebanan yang ditanggung rakyat akibat kesan langsung skandal syarikat pelaburan strategik negara itu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak.
najibwsj 
“Kenyataan tersebut semata-mata untuk menyelamatkan maruah Perdana Menteri. Mereka kata wang tersebut hasil derma, tetapi mereka tak mampu buktikan apa-apa.

“Rakyat tidak terkejut dengan kenyataan itu. Sejak awal lagi, pelbagai alasan diberi dan sering berubah-ubah,” tegas Ahli Parlimen Bayan Baru itu ketika dihubungi.

Terdahulu, Najib didakwa mengakui sebanyak US$700 juta (RM2.67 bilion) telah dimasukkan ke akaun banknya, dan perkara itu didedahkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu klip video yang dibocorkan ke Internet.

Pendedahan Muhyiddin itu konsisten dengan laporan Sarawak Report pada Julai yang mendedahkan bagaimana sejumlah USD$681,999,976 (RM2.6 bilion) dikaitkan dengan 1MDB telah dipindahkan ke akaun AmPrivate Banking milik peribadi Perdana Menteri di Kuala Lumpur.

“Ini yang kita persoalkan, kerana nilai dana yang didakwa dipindahkan ke akaun Najib itu sama dengan nilai yang dikatakan wang 1MDB,” kata Sim.

Kenyataan SPRM bahawa dana tersebut adalah dari sumbangan penderma dijadikan bahan jenaka oleh kebanyakan pengguna laman sosial yang dilihat menolak alasan yang diberikan itu.

Sambung Sim, tidak mustahil kerajaan akan terus memberi pelbagai kenyataan bagi mengelirukan rakyat.

Bagaimanapun, ujarnya usaha itu tidak akan berjaya kerana sebilangan besar rakyat bijak membuat penilaian.

Tiada ulasan: