HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Ogos 2015

Kemenangan calon BN tak sah jika RM2.6b diguna untuk kempen PRU 13

Oleh Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR: Kemenangan calon Umno Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) lalu tidak sah jika dana kontroversi RM2.6 bilion yang diderma kepada Datuk Seri Najib Razak digunakan dalam kempen PRU berkenaan.

Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, jika dakwaan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan kononnya Perdana Menteri memerlukan sumbangan sehingga RM2.6 bilion untuk menampung perbelanjaan kempen pilihan raya BN, bermakna semua calon Umno BN telah melanggar peraturan pilihan raya.
Rafizi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan RM100,000 sebagai had maksimum bagi perbelanjaan kempen untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan RM200,000 untuk calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen.

“Saya agak tercuit dengan penerangan Datuk Abdul Rahman kononnya Najib perlu berbelanja besar untuk menampung kempen pilihan raya BN yang lalu.

“Beliau menggunakan alasan bahawa Selangor berada di bawah Pakatan Rakyat yang menyebabkan Najib memerlukan sumbangan sehingga RM2.6 bilion untuk menampung perbelanjaan.

“Ini bermakna setiap calon Umno BN dalam PRU13 telah melanggar peraturan pilihan raya dan kerusi mereka telah dimenangi secara tidak sah,” kata Ahli Parlimen Pandan itu dalam kenyataan.

Rafizi mengandaikan setiap calon membelanjakan hampir RM6 juta seorang dalam pilihan raya lalu.

“Dengan anggaran mudah bahawa separuh dari jumlah RM2.6 bilion itu dibelanjakan untuk kempen pilihan raya bagi kerusi Parlimen, ini bermakna setiap calon BN telah membelanjakan sekitar RM5.8 juta dalam PRU 13 lalu,” tegasnya.

Beliau menyangkal kenyataan Abdul Rahman itu dan menyifatkan alasan Ahli Parlimen Kota Belud dalam program Dialog disiarkan di TV1 malam tadi hanya bertujuan untuk menghalalkan dana diragui yang dipindahkan ke akaun Najib.

“Sudah tentu ramai rakyat akan tertanya bagaimanakah dengan perbelanjaan kempen sebegitu besar tetapi BN masih gagal memenangi kembali Selangor?

“Malah dalam PRU 13, Datuk Seri Najib bukan sahaja kalah besar di Selangor, BN turut kalah besar di Pulau Pinang dan gagal merampas Kelantan tetapi Kerusi Parlimen BN juga turut susut.

“Jika benar ‘sumbangan’ RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri itu untuk perbelanjaan Umno, kenapa Timbalan Presiden Umno sendiri tidak mengetahui kewujudan wang sebanyak itu yang kononnya milik Umno?” soal Rafizi.

Tegasnya, lebih banyak penjelasan tidak masuk akal akan dibuat bagi mempertahankan Najib, sekaligus akan menghakis keyakinan rakyat kepada pimpinan kerajaan.

Tiada ulasan: