MALAYSIAKINI
Apabila Felda Global Ventures Holdings (FGV) disenaraikan di Bursa
Malaysia pada 28 Jun 2012, ia merupakan projek penyenaraian kedua
terbesar di dunia selepas Facebook.
Pada masa itu harga pasaran FGV adalah sebanyak RM4.45 dan pernah
mencapai tahap RM5.50 buat seketika dahulu. Kini selepas tiga tahun,
harga saham FGV pada 24 Julai 2015 hanyalah RM1.67.
Dalam tempoh tiga tahun, ia merudum teruk sebanyak 70 peratus. Modal
pasaran pada waktu puncak adalah kira-kira RM20 bilion dan kini ia hanya
bernilai RM6 bilion – susut teruk sebanyak RM14 bilion.
Penurunan yang drastik ini menyebabkan FGV disingkirkan daripada senarai indeks 30 FBM KLCI.
Di samping itu, apabila disenaraikan di Bursa, FGV memperoleh sejumlah
RM9.93 bilion dana. Kini, dana tersebut hanya tinggal RM100 juta sahaja.
Apa jadi dengan Felda, projek yang diusahakan dan dibangga-banggakan
kerajaan Malaysia sejak tahun 1950-an ini?
|
Pengerusi FGV Tan Sri Isa Abdul Samad, tokoh yang dibekukan keahlian
Umno selama tiga tahun ekoran penglibatan dalam wang politik, berhujah
bahawa kita tidak boleh membandingkan FGV dengan konglomerat lain kerana
70 peratus pendapatan FGV adalah daripada hasil kelapa sawit.
Namun begitu, pada tahun 2014, syarikat yang mempunyai bahagian
perniagaan perladangan kelapa sawit yang lebih besar seperti Kuala
Lumpur Kepong (KLK) dan United Plantations (UPL) juga tidak mengalami
penurunan keuntungan yang ketara, sebaliknya UPL mencatatkan pertumbuhan
keuntungan sebanyak 4 peratus.
Malah, apa yang dikatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FGV Mohd Emir
juga menimbulkan keraguan. Beliau menyalahkan kejatuhan harga minyak
sawit mentah (CPO) sebagai punca keruntuhan harga saham FGV.
Tetapi, tiada sebuah syarikat kelapa sawit tersenarai yang mengalami
kemerosotan yang begitu dramatik seperti FGV. Persoalannya, apakah punca
berlakunya perkara ini? Maka, marilah kita mengimbas kembali satu
peristiwa pelaburan yang berkaitan dengan FGV baru-baru ini.
Pada 12 Jun 2015, FGV mengumumkan ia akan memperuntukkan USD679 juta
untuk membeli 37 peratus saham sebuah syarikat perladangan sawit ketiga
terbesar Indonesia yang dikenali sebagai Eagle High (di bawah penguasaan
Kumpulan Rajawali Capita). Apa yang wajar diteliti ialah tiada sebuah
pun broker sekuriti yang menganggap transaksi tersebut munasabah.
Maybank Securities misalnya percaya bahawa harga pembelian USD17,400
bagi setiap hektar ataupun bersamaan dengan 770 Rupiah harga sesaham
adalah terlalu mahal.
Harga terakhir transaksi Eagle High hanya mencatat 450 Rupiah, maka
harga pembelian FGV adalah 71 peratus lebih tinggi daripada harga
pasaran.
Selain itu, Bloomberg Securities juga menganggarkan bahawa Nisbah Harga
Perolehan (P/E) 2015/2016 akan mencapai 52/38 kali dan pendapatan
sesaham dalam masa jangka pendek akan menjadi negatif.
CIMB Securities juga berpendapat bahawa harga pembelian itu terlalu
tinggi dan FGV perlu membayar USD174.5 juta terlebih dahulu, ataupun 23
peratus daripada harga pembelian sebagai deposit. Selepas peralihan 37
peratus saham kepada FGV, walaupun kumpulan Rajawali hanya memegang 28.5
peratus saham, ia masih mengekalkan kawalannya ke atas Eagle High.
Selepas pengumuman dibuat, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), salah
satu pihak pemegang saham FGV, yang juga merupakan tempat simpanan hasil
titik peluh daripada berjuta-juta rakyat, membantah urusniaga tersebut
kerana harga pembelian adalah terlalu tinggi.
Akhbar The Edge Financial Daily melaporkan bahawa wakil KWSP
berkata, "Jika lebih mahal daripada harga pasaran 30 peratus masih boleh
diterima. Tetapi lebih daripada harga pasaran 70 peratus jelas
menunjukkan harga urusniaga yang amat tidak munasabah."
Harga saham FGV turut menjunam sejurus selepas pengumuman itu dibuat.
Mengapakah pengambilalihan yang tidak rasional tersebut diluluskan?
Timbul dakwaan bahawa pemilik Rajawali merupakan kawan baik Najib.
Bagaimanapun, secara jelas boleh dikatakan bahawa ia bersangkut paut
dengan kapitalisme kroni yang diamalkan oleh Umno/BN selama ini.
Ini bukan urusniaga luar biasa pertama yang berlaku. Sebelum ini,
terdapat juga pengambilalihan loji minyak di Amerika Syarikat, kilang
kacang soya di Kanada, hotel mewah di United Kingdom serta pelan
pengambilalihan lain yang tidak berkaitan dengan perniagaan teras FGV.
Ini menimbulkan keraguan: Adakah kewujudan FGV untuk kepentingan rakyat
ataupun satu mainan modal sahaja?
Walaupun FGV dianggap sebagai entiti komersil, tetapi ia lebih menyerupai projek kejuruteraan sosial dan politik.
Jika ia merupakan organisasi komersial semata-mata, Isa Samad pastinya
tidak akan menyandang begitu banyak jawatan – pengerusi di Lembaga
Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Kumpulan Pelaburan Felda (FIC) dan
Felda Holdings Bhd.
Lebih-lebih lagi, entiti komersil tidak memerlukan seorang tokoh politik
veteran untuk mengetuai kumpulan perladangan terbesar di dunia!
Pembangunan industri strategik boleh membawa kepada kemakmuran dan
kesejahteraan negara. Korea, Taiwan dan Jepun mencapai tahap negara maju
melalui pembangunan industri strategik yang didorong oleh kerajaan.
Namun begitu, ekoran korupsi yang membarah dalam institusi negara,
rasuah dan penyelewengan berleluasa, penjawat awam dipolitikkan, pilihan
raya tidak bersih, media tidak bebas dan penekanan masyarakat sivil,
Malaysia telah mengalami masalah “kegagalan kerajaan”.
Ini bermaksud segala usaha yang digembleng atas nama kemajuan ekonomi
akan tersasar daripada matlamat asal, malah menjadi ruang bagi amalan
ambil untung atas angin oleh kroni dan mereka yang berkuasa.
Untuk terus memenuhi selera mereka yang semakin besar, projek sebegini
akan mengalami proses pengkorporatan, penswastaan dan pemodalan, dan
diikuti dengan projek-projek mega yang akhirnya menjadi projek gajah
putih.
Hari ini, pengarah FGV menikmati gaji lumayan dan mengunjungi seluruh
dunia untuk membincangkan urusniaga korporat. Dalam pada itu, lebih
daripada 4,458 peneroka menyaman Felda dan mendakwa pihak pengurusan
menipu Kadar Perahan Gred (KPG) hasil kelapa sawit peneroka. Mereka yang
menyaman Felda ini telah dinafikan hak untuk berkongsi dividen serta
duit raya FGV.
Inilah yang akan berlaku apabila kerajaan gagal dan GLC bertindak di luar kawalan.
LEE CHEAN CHUNG ketua penerangan AMK dan ADUN Semambu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan