BERNAMA
Gesaan terhadap Muhyiddin untuk melepaskan jawatannya hanya timbul selepas beliau digugurkan daripada Kabinet.
HULU TERENGGANU, Tindakan meminta bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Timbalan Presiden Umno adalah kurang bijak dan wajar ditentang, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun.
Beliau berkata gesaan seperti itu selepas
Muhyiddin digugurkan daripada Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak, hanya akan menggugat ukhuwah pucuk pimpinan dan
institusi parti Umno.
“Ada suara anasir-anasir (pemimpin)
dengan secara terbuka mendesak Muhyiddin supaya melepaskan jawatan
timbalan presiden. Sebenarnya ini bukan soal Kabinet.
“Dalam soal institusi parti, Pemuda
sebagai hulubalang parti akan pertahankan budaya menghormati pemimpin
dan tidak mahu meninggalkan contoh tidak baik untuk generasi akan
datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat
perwakilan Pemuda Umno Hulu Terengganu di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pemuda Umno Terengganu, Johari Abu Bakar, yang juga Ketua Pemuda bahagian itu.
Khairul Azwan berkata, dalam soal
rombakan Kabinet, ia merupakan hak perdana menteri melantik sesiapa
sahaja walaupun bukan dalam kalangan pemimpin tertinggi dalam parti.
“Suara-suara yang menyuruh timbalan atau
naib presiden meletakkan jawatan adalah dalam kalangan pemimpin Umno dan
ia wajar dan wajib ditentang sebab kalau anasir ini datang dari luaran
parti, itu lumrah tapi ini dalaman pula,” katanya.
Katanya, sebagai ahli Umno semua pihak seharusnya menghormati pucuk pimpinan tertinggi dengan tidak mengira individu.
“Pemuda menghormati perdana menteri yang
merupakan presiden parti dan Pemuda juga menghormati timbalan presiden
parti dan kesemua pucuk pimpinan…Pemuda tidak menyebelahi mana-mana
pihak,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Umno Bahagian Sungai
Besar, Datuk Jamal Yunos menasihatkan Muhyiddin supaya berehat daripada
dunia politik dan meletak jawatan timbalan presiden parti.
Menurutnya, mana-mana pemimpin yang tidak
sehaluan dengan presiden parti perlu berundur untuk tidak menjejaskan
sokongan ahli lain dan rakyat terhadap Umno.
Dalam rombakan Kabinet 28 Julai lepas,
Muhyiddin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, selaku
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, merupakan antara yang
digugurkan daripada senarai tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan