NORAIZURA AHMAD
Pada 31 Julai lalu,
penganjur telah mengadakan himpunan di ibu pejabat The Edge, di Petaling
Jaya, bagi menunjukkan solidariti kepada media itu. - Foto arkib TRP/
Daniel Chan
KUALA LUMPUR, Penganjur himpunan Solidariti Media bersama The Edge berjanji akan berhimpun secara aman dan tiada badan bukan kerajaan (NGO) berisiko menimbulkan masalah dibenarkan menyertai himpunan itu.
Himpunan yang dikenali sebagai himpunan
808 itu akan bermula di Pasar Seni, pagi esok, sebelum peserta berarak
sejauh 400 meter ke pejabat Majlis Peguam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten
Komisioner Zainol Samah berkata, seorang wakil penganjur tampil menemui
polis hari ini, bagi membincangkan himpunan tersebut.
Beliau berkata, polis akan menempatkan anggota mereka pada kadar minimum, bagi mengawal keadaan dan keselamatan orang ramai.
“Polis dimaklumkan empat sepanduk akan digunakan sepanjang perhimpunan dan beberapa alat muzik turut dibenarkan.
“Tetapi, ianya tidak boleh digunakan semasa bergerak dari Pasar Seni ke pejabat Majlis Peguam,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, hari ini.
Beliau berkata, seramai 100 peserta dijangka menyertai himpunan tersebut.
Zainol menegaskan, penganjur akan
mengambil tindakan, sekiranya peserta melakukan kesalahan dan melanggar
Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Kami ada bertanyakan penganjur,
sekiranya perhimpunan bertukar ganas, dengan kemungkinan penglibatan
NGO, penganjur berkata, ianya tidak akan berlaku.
“Sekiranya ada unsur-unsur yang membawa kepada masalah dan menganggu ketenteraman, kami akan ambil tindakan,” katanya.
Menurutnya, polis dimaklumkan hanya tiga
individu yang akan berucap pada himpunan itu, iaitu penganjur, bekas
Pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Ketua Pegawai
Eksekutif Gerakan Kesederhanaan Global, Datuk Saifuddin Abdullah.
Himpunan tersebut diadakan bagi
menyatakan solidariti bersama The Edge Media Group, susulan dua
penerbitannya yang digantung permit selama tiga bulan, bermula 27 Julai
lalu, kerana menyiarkan laporan berhubung 1Malaysia Deveploment Berhad
(1MDB).
Difahamkan, himpunan esok turut disertai
Gerakan Media Marah (Geramm), Badan Wartawan Malaysia (IOJ),
Foreign Correspondents Club of Malaysia (FCCM), Reporter Sans Frontieres
(RSF) dan Center for Independent Journalism (CIJ).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan