HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Ogos 2015

Harga air Johor termahal di Malaysia

Tan Hong Pin
Tan Hong Pin
 
 
KLUANG - DAP Johor menyifatkan tindakan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) yang bertindak menaikkan tarif air bermula 1 Ogos lalu dilihat menambahkan bebanan rakyat di negeri ini.
 
Adun Mengkibol, Tan Hong Pin mengecam sekeras-kerasnya tindakan Span dan kerajaan negeri berikutan meningkatkan kadar tarif air pada masa tidak sesuai.
 
Beliau berkata, kenaikan tarif air itu menjadikan rakyat negeri ini makin ditekan dengan pelbagai masalah ekonomi termasuk pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) April lalu.
 
“Kerajaan harus membatalkan peningkatan ini segera dan memberhentikan tindakan merompak jutaan pengguna air di Johor demi keuntungan ratusan juta syarikat monopoli milikan kroni.
 
“Pengumuman kadar tarif baru air yang berkuatkuasa 1 Ogos lalu oleh Syarikat Air Johor (SAJ) sangat mengejutkan. SAJ telah mendapat kebenaran dari Span untuk meningkatkan kadar air di seluruh Johor untuk setiap jenis pengguna dan tahap penggunaan.
 
“Kadar tarif air untuk penggunaan domestik melambung sebanyak 33 peratus daripada RM0.60 setiap meter padu kepada RM 0.80 setiap meter padu untuk 20 meter padu pertama.
 
“Tindakan pihak SAJ mengenakan kenaikan tarif setinggi 33 peratus untuk kelas penggunaan terendah (0-20 m3) manakala 1 peratus untuk kelas penggunaan tertinggi (lebih daripada > 35 m3) adalah regresif dan tidak wajar sama sekali,” katanya.
 
Hong Pin berkata, sepatutnya golongan yang menggunakan air berlebihan sama ada mempunyai rumah besar ataupun gaya hidup mewah sepatutnya memikul kadar peningkatan lebih banyak.
 
“Saya hairan bagaimana SAJ dengan kebenaran kerajaan negeri dan Span di bawah Kerajaan Persekutuan boleh mengambil langkah begitu menindas golongan rakyat biasa.
 
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sepatutnya dasar yang digubal berkenaan penggunaan air cenderung kepada memberi galakan dan insentif kepada pengguna yang berhemah dan berjimat, manakala memberi hukuman kepada pengguna yang membazir.
 
“Selain peningkatan mendadak dan berbentuk regresif, saya mempersoalkan tindakan SAJ kerana setakat ini perniagaan monopoli untuk merawat dan menjual air di Johor sudah mendapat pulangan cukup lumayan,” katanya.
 
Hong Pin berharap, pihak bertanggungjawab dapat meneliti semula baik dan buruk kenaikan tarif air kerana ia dilihat membebankan rakyat.
 
Jelasnya, rakyat Johor perlu menanggung harga air yang termahal di seluruh Malaysia.
 
“Berbanding Negeri Sembilan yang memang kurang hujan dan Melaka yang tiada sungai besar, rakyat Johor membayar bil air jauh lebih tinggi. Alasan SAJ bahawa kos rawatan dan perniagaan yang semakin meningkat tidak boleh diterima.
 
“Negeri Selangor dan Kuala Lumpur sepatutnya mempunyai kos tertinggi di Malaysia, tetapi harga air Johor jauh lebih mahal,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: